Buletin

ŠKODA SUPERB ’19, RINGKAS BERGAYA (SEPUPU VW PASSAT)

Di antara kehebatan utama Kumpulan Volkswagen ialah bagaimana ia berjaya menyatukan banyak jenama automotif di bawah satu bumbung.

Satu lagi kehebatan kumpulan gergasi ini ialah bagaimana setiap jenama mempunyai identiti tersendiri sedangkan isi dalam dan teknologi berkongsi perkara yang sama.

Kehebatan ketiga ialah bagaimana jenama berupaya bersaing sebelah menyebelah dan menghimpun pembeli tersendiri.

ŠKODA SUPERB SPORTLINE

Dua jenama yang mirip di antara satu sama lain ialah ŠKODA dan Volkswagen.

Terbaru ŠKODA melancarkan SUPERB 2019 dengan sedikit perubahan luaran yang berjaya mengekalkan seri keseluruhan kereta.

Reka bentuk sebegini tampak lembut dan membujur dan tidak terlalu berkotak dan bersegi yang sinonim dengan ŠKODA.

ŠKODA SUPERB COMBI SPORTLINE

Bampar depan yang direka semula menjadikan model sedan dan wagon SUPERB COMBI menjadi lebih panjang berbanding model terdahulu.

Selain bampar, bahagian yang jelas menaikkan seri ialah kombinasi lampu utama, gril dan lampu kabus.

Lampu lebih canggih iaitu jenis LED Matrix setara dengan jenama lain di dalam Kumpulan VW.

Bahagian belakang pula tampil kemas dan terkini dengan lampu LED penuh, baris krom melintang dan tulisan ŠKODA di atasnya.

ŠKODA SUPERB PHEV

Reka  bentuk dalaman kelihatan ringkas dan elegan ala model terkini VW.

Satu lagi kelebihan SUPERB ialah saiz but yang luas iaitu 625 liter untuk model sedan dan 1,950 liter untuk model wagon COMBI.

Berikut ialah lagi ciri baharu untuk SUPERB 2019:

  • Enam pilihan enjin, sepuluh padanan transmisi dan satu plug-in hybrid (PHEV)
  • Enjin 1.6 TDI 120 ps dipadankan dengan transmisi tujuh kelajuan DSG
  • Enjin 2.0 TDI 150 ps EVO dipadankan dengan transmisi tujuh kelajuan DSG atau enam kelajuan manual
  • Enjin 2.0 TDI diesel 190 ps dipadankan dengan transmisi tujuh kelajuan DSG dan pilihan pacuan AWD
  • Enjin 1.5 TSI 150 ps dipadankan dengan transmisi tujuh kelajuan DSG  atau enam kelajuan manual
  • Enjin 2.0 TSI baharu 190 ps menggunakan transmisi standard tujuh kelajuan DSG
  • Enjin 2.0 TSI 272 ps menggunakan transmisi tujuh kelajuan DSG dan pacuan AWD sebagai ciri standard
  • Varian PHEV menggunakan enjin 1.4 TSI dengan motor elektrik menghasilkan kuasa gabungan 218 ps
  • Jarak perjalanan kuasa elektrik ialah 55 km (WLTP) dan sehingga 850 km untuk gabungan enjin petrol

Sama seperti VW yang mempunyai versi R Line, ŠKODA turut mempunyai varian sporty yang dikenali SUPERB SPORTLINE.

Varian ini tampil berbeza dengan kemasan berwarna hitam iaitu pada gril dan roda aloi 18 inci.

Bahagian dalam pula tampak ranggi dengan kerusi sport balutan Alcantara® dan kulit.

Perubahan tidak terhad kepada kosmetik sahaja kerana kereta turut direndahkan kepada 10 mm.

Tawaran terbaru daripada ŠKODA ini memang menarik tetapi sayangnya tidak dijual di negara kita sejak sekian lama.

Google ads
Back to top button