Buletin

MACAN DAN CAYENNE DOMINASI JUALAN PORSCHE (SUV IS KING!)

Umum diketahui SUV adalah trend masa kini sehingga syarikat pengeluar kereta eksotik dan mewah pun mempunyai wakil di dalam segmen tersebut. Lamborghini, Bentley, Maserati, Rolls-Royce menawarkan SUV masing-masing bagi merebut peluang yang terhidang.

Segmen ini bukan sahaja setakat trend malah berjaya membantu dalam memberi nafas baharu kepada pengeluar. Contoh terdekat ialah bagaimana X70 berjaya menaikkan semula jualan dan imej Proton sehingga ke tahap sekarang.

Satu lagi senario yang nampak janggal apabila SUV buatan Porsche seperti Macan dan Cayenne lebih mudah dijumpai di atas jalan raya berbanding model sport syarikat itu sendiri.

Adakah ini perkara yang baik? Jika diukur dari sudut perniagaan, memang sangat baik dan boleh dilihat di dalam pencapaian enam bulan pertama Porsche pada tahun ini.

Dari Januari hingga Jun 2019, pendapatan jualan Porsche meningkat sebanyak sembilan peratus kepada EUR 13.4 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jualan kepada pelanggan meningkat sebanyak dua peratus kepada 133,484 unit dan paling bagus apabila kakitangan turut bertambah sebanyak lima peratus kepada 33,839 orang.

Dari segi barisan model, Porsche sebagai pengeluar kereta sport mempunyai barisan lengkap daripada model dua pintu seperti 718 dan 911 kepada sedan empat pintu Panamera sehinggalah SUV Macan dan Cayenne.

Daripada lima model utama tersebut ternyata SUV menjadi pilihan pelanggan.

Di dalam tempoh enam bulan, sebanyak 41,725 Cayenne diserahkan kepada pelanggan dan lebih menakjubkan apabila SUV itu mencatatkan peningkatan sebanyak 45 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Model Porsche paling laris juga daripada siri SUV iaitu Macan dengan jualan sebanyak 47,367 unit.

Secara amnya prestasi Porsche pada setengah tahun pertama kelihatan positif dengan pertumbuhan sebanyak 28 peratus di China dan 20 peratus di Asia Pasifik, Afrika dan Timur Tengah dengan jumlah jualah sebanyak 57,397 unit.

Di Amerika Syarikat, jualan meningkat sebanyak tiga peratus kepada 30,257 unit kenderaan.

Untuk baki lagi enam bulan pada tahun ini, Porsche menjangkakan lebih banyak angka jualan. Keyakinan tersebut disumbangkan oleh sejumlah model baharu seperti Cayenne Coupé, 718 Spyder dan 718 Cayman GT4.

Selain model konvensional tersebut, Porsche akan melancarkan Taycan, model sport elektrik pertama dan akan menemui pelanggan pada hujung tahun ini.

Daripada 133,484 unit jualan setengah tahun 2019, 89,092 daripadanya adalah jualan SUV Macan dan Cayenne. Jadi jelaslah bagaimana SUV mempunyai jasa dan impak besar kepada Porsche yang dahulunya bermula sebagai pengeluar kereta sport dua pintu.

Google ads
Back to top button