Buletin

TAK SENGAJA LANGGAR BUDAK, LELAKI PATAH HIDUNG DITUMBUK

Seorang lelaki patah tulang hidung selepas ditendang dan ditumbuk dua lelaki bertubi-tubi selepas tidak sengaja terlanggar seorang kanak-kanak ketika memandu di jalan berhadapan tol keluar Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam.

Ketika kejadian itu berlaku, mangsa terus memberhentikan kenderaannya untuk membantu kanak-kanak tersebut namun terus diserang dan kunci keretanya turut dirampas.

Ketua Polis Daerah Sentul, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, Beh Eng Lai berkata, pihak polis telah menerima laporan daripada mangsa kira-kira pukul 11.00 pagi tadi.

“Mangsa sedang memandu di jalan berhadapan tol keluar Pasar Borong Kuala Lumpur dan terlanggar seorang kanak-kanak yang sedang berjalan bersama ibunya.

“Kanak-kanak tersebut dipercayai hanya terkena di bahagian cermin sisi sebelah kanan kereta mangsa dan mangsa kini sedang dirawat di Hospital Selayang kerana mengalami kecederaan,” katanya.

Pihak polis sedang mengesan kedua-dua suspek yang terlibat bagi membantu siasatan.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan cedera parah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga keamanan serta ketenteraman awam. Tindakan tegas akan diambil jika ingkar,” katanya dalam satu kenyataan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terhadap insiden tersebut diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button