Buletin

KONVOI 1,600KM DALAM TEMPOH 24 JAM, MODENAS DAPAT PENGIKTIRAFAN MALAYSIA BOOK OF RECORDS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) dan kelab pemilik Modenas Dominar D400, DC Projek mengukir sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi “Jarak Paling Jauh Dilalui Konvoi Motosikal Dalam Tempoh 24 Jam”.

Konvoi tersebut disertai oleh 25 pemilik Modenas Dominar D400 dan 7 Modenas Pulsar NS200. Diketuai oleh Presiden DC Projek, Muhammad Adib Rapia’e, konvoi itu bermula pada 1 Oktober 2022 jam 9.40 pagi dan tamat pada 2 Oktober jam 9.15 pagi dengan jarak tunggangan sejauh 1,642km dalam masa 23 jam 25 minit.

Acara tersebut dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan yang berlepas dari Glenmarie, Shah Alam, kemudiannya menghala ke kilang MODENAS di Gurun, Kedah sebagai laluan pertama.

Dengan jarak perjalanan sejauh 399km, konvoi berhenti seketika mengambil kesempatan untuk sesi gambar berkumpulan di kilang MODENAS, sebelum meneruskan perjalanan sejauh 87km menuju sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah. Di sana mereka disambut dengan cuaca yang kurang elok. Sepanjang jalan mereka dibasahi hujan, mengharungi suhu mencecah 28 darjah selsius.

“Dengan keadaan hujan sepenjang perjalanan dari Kedah ke Johor, dengan kelajuan 110km/j, ada kalanya kami berhadapan dengan situasi hydroplaning ketika menunggang. Kami amat bersyukur dengan kestabilan, prestasi Modenas Dominar D400 dan Modenas Pulsar NS200. Terima kasih MODENAS, kerana kedua-dua model ini didatangkan dengan sistem ABS,” kata Muhammad Adib.

Dari Kedah, perjalanan diteruskan sejauh 491km ke Selatan menuju ke Sungai Besi, Kuala Lumpur dan seterusnya ke Johor Bahru, Johor sebelum kembali semula ke Glenmarie, Shah Alam dengan jarak perjalanan sejauh 659km.

Dalam keadaan gelap gelita, selain hanya berbekalkan minuman serta makanan ringan sebagai mengalas perut, perjalanan tetap diteruskan. Peserta hanya berhenti sebentar untuk rehat, mengisi petrol selain mengambil gambar resit petrol bagi mematuhi syarat ditetapkan Malaysia Book of Records (MBOR).

“Ini merupakan kali kedua MODENAS menganjurkan cabaran 1,600km dalam tempoh 24 jam. Melalui kerjasama ini, program telahpun berjaya mencatatkan rekod baharu di dalam MBOR bagi “Jarak Paling Jauh Dilalui Konvoi Motosikal Dalam Tempoh 24 Jam”.

“Tahniah kepada kesemua 32 peserta dalam menyempurnakan cabaran ini. Walaupun, saya tahu sebenarnya kumpulan itu tidak mempunyai banyak masa untuk melalui setiap negeri, namun saya amat berharap mereka telah memperolehi kepuasan daripada pencapaian program ini,” kata Roslan.

Google ads
Back to top button