Buletin

BERANG DIGANGGU, MIKE TYSON TUMBUK MUKA PENUMPANG MABUK DALAM PESAWAT

Bekas juara tinju heavyweight dunia, Mike Tyson dilaporkan menumbuk seorang penumpang pesawat berulang kali selepas individu itu didakwa mengganggunya ketika menaiki pesawat di San Francisco.

Dalam satu rakaman yang tular, Tyson yang dilihat menurunkan penyandar bersandar tempat duduknya sebelum memberikan pukulan bertubi-tubi kepada lelaki itu sehingga mukanya lebam dan berdarah. “Iron Mike” pada mulanya mesra dengan penumpang dan rakannya ketika mereka menaiki penerbangan, tetapi bertindak balas selepas lelaki itu tidak berhenti melakukan provokasi terhadap dirinya.

“Tyson sebenarnya sudah menegur perbuatan lelaki tersebut dan menyuruhnya untuk senyap. Namun apabila diendahkan, ketika itulah saksi berkata Tyson mula melepaskan beberapa tumbukan ke arahmuka lelaki itu” kata laman sesawang hiburan, TMZ.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada polis Amerika Syarikat, syarikat penerbangan JetBlue dan wakil Tyson berkenaan kejadian tersebut.

Jabatan Polis San Francisco (SFPD) memberitahu TMZ bahawa pegawainya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan dan menahan dua individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu. Bagaimanapun, polis menambah mangsa yang dirawat enggan memberi kerjasama dalam siasatan polis. Tiada maklumat lanjut tentang siasatan terhadap Tyson oleh SFPD.

Sementara itu, sumber rapat dengan Tyson mendakwa peminat itu berada dalam keadaan mabuk dan berterusan membuat provokasi terhadap petinju itu dari tempat duduknya. Seorang saksi dalam pesawat berkata legenda tinju itu pada mulanya nampak selesa melayan penumpang lain, malah ada yang berswafoto dengannya.

Dianggap sebagai salah seorang petinju terbaik sepanjang zaman, Tyson juga terkenal dengan tingkah lakunya yang tidak menentu apabila pernah menggigit telinga Evander Holyfield ketika pertarungan pada tahun 1997.

Tyson juga pernah ditahan kerana gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan termasuklah pernah disabitkan atas kesalahan rogol dan ketagihan dadah jenis kokain. – Astro Awani

Google ads
Back to top button