
HONDA NSX MERUPAKAN EXHIBIT BARU MUZIUM TOYOTA – KEHEBATAN YANG DIAKUI LAWAN
Toyota Automotive Museum di bandar Nagakute, Jepun mempamerkan sebahagian besar koleksi kereta-kereta terhebat Toyota selain kereta-kereta yang jarang dapati dilihat. Sebenarnya ia bukan hanya khusus untuk model-model keluaran mereka tetapi juga berfungsi sebagai muzium automobil sepenuhnya dengan ruang-ruang khusus untuk model-model unggul milik saingan mereka.
Ruang khas tersebut dikhaskan untuk kereta bertaraf ikonik, yang cukup jarang dapat dilihat tetapi mempunyai karisma dan kehebatan mereka sendiri. Antara model yang berada di sini ialah Ford Model T, Corvette generasi pertama dan Bugatti Type 57.
Jangan bimbang kerana ia tidak terhad kepada model klasik dan vintaj sahaja. Boring la kan asyik tengok kereta zaman televisyen hitam putih. Ada juga ruangan yang dikhaskan untuk kereta-kereta sports kontemporari yang revolusionari.

Antara model terkenal yang sudah berada di sini ialah Nissan GT-R, Miata NA (makin bongkak la Abang Japar lepas ni) dan model kebanggaan Toyota, Lexus LF-A. Tapi rasanya Toyota sendiri merasakan ruang pameran ini belum lengkap jadi mereka baru sahaja memasukkan model unikon keluaran saingan mereka, Honda NSX generasi pertama!
Walaupun ia bukan satu langkah yang pelik untuk Toyota mempamerkan model keluaran pesaing mereka tapi sudah tentu ada sesuatu yang menyebabkan mereka tertarik dengan Honda NSX.
Ia merupakan sebuah model penting yang disifatkan sebagai pesaing Ferrari dari Jepun dan mempunyai daya eksotiknya yang tersendiri. Ia diakui sendiri oleh Toyota dan mereka tanpa ragu-ragu meletakkanya di sebelah model kebanggaan mereka, Lexus LF-A. Inilah tanda respek yang sebenarnya.

Sama macam Abang Japar juga walaupun digelar pembatak Mazda tapi masih pakai Alza untuk kegunaan seharian. Hmm…kalau Alza boleh buka bumbung kan bagus.




