Buletin

BUANG ORANG TANPA NOTIS, TESLA BAKAL BERDEPAN SAMAN BEKAS PEKERJA

CEO Tesla, Elon Musk baru-baru ini mengumumkan langkah untuk memberhentikan kira-kira 10 peratus pekerja bergaji syarikat itu.

Menurut Elon Musk, ia adalah bersamaan dengan tiga hingga 3.5 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga pekerja syarikat pengeluar kereta elektrik tersebut.

Pengumuman ini dibuat di tengah-tengah kebimbangan di mana ekonomi Amerika Syarikat bakal memasuki zaman kemelesetan.

Sebelum ini, satu emel yang tertiris mendedahkan arahan Elon kepada eksekutif Tesla untuk mengurangkan kira-kira 10 peratus jumlah pekerja di peringkat global, serta menghentikan pengambilan pekerja baharu.

Menurut data daripada SEC, Tesla menggaji kira-kira 100,000 orang pekerja pada akhir tahun 2021, dan pengurangan tersebut memberikan petanda 3,500 orang pekerja akan hilang mata pencarian menjelang akhir musim panas.

Jika proses pembuangan pekerja ini sudah pun dilaksanakan, ia mampu memberikan kesan besar kepada pengeluar itu, menurut laporan Reuters.

Ini kerana beberapa bekas pekerja Tesla di Nevada telah pun memfailkan tindakan undang-undang kerana melanggar peraturan di bawah Akta Pemberitahuan Pelarasan dan Latihan Semula (WARN).

Difahamkan kira-kira 500 orang pekerja telah pun dihentikan dan Tesla tidak memberikan notis awal 60 hari seperti yang diperuntukkan. – Reuters

Google ads
Back to top button