
PEUGEOT 408 2023 – SEDAN? CROSSOVER? COUPE?
Peugeot sebelum ini pernah melancarkan 408 dalam bentuk sedan tiga kotak untuk pasaran China dan Malaysia, di mana ia sebenarnya merupakan 308 hatchback yang telah diubah menjadi sebuah sedan.
Kini, nama itu digunakan semula untuk pasaran Eropah, namun tidak lagi membawakan bentuk sedan konvensional, sebaliknya sebuah model yang menggandingkan sedan fastback dengan elemen crossover.

Berkongsi platform EMP2 yang sama seperti Citroen C5 X, Peugeot 408 membawakan rekaan yang jauh lebih agresif, dengan dimensi sepanjang 4,687 mm, lebar 1,859 mm, tinggi 1,478 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,787 mm.
Ruang kargo pula mampu memuatkan sehingga 536 liter atau sehingga 1,611 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Reka bentuk luaran 408 ini mengikut bahasa rekaan terkini Peugeot, terutama rekaan lampu LED taring dan jeriji moden di hadapan, diikuti dengan lampu belakang dengan grafik kuku haiwan yang lebih nipis.

Sementara ruang kabin pula membawakan rekaan i-Cockpit yang lebih moden, sepasang skrin bersaiz 10 inci, roda stereng Peugeot yang kecil, serta sistem audio Focal dengan 10 pembesar suara.
Dari segi penawaran trenkuasa, 408 boleh didatangkan dengan versi plug-in hybrid 1.6 liter dengan dua output berbeza – 180 hp/360 Nm atau 225 hp/360 Nm – atau versi aras mula yang didatangkan dengan enjin tiga silinder 1.2 liter berkuasa 130 hp/230 Nm.
Tidak kira apa jua enjin yang dipilih, kesemua varian dilengkapi dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.
Versi EV sepenuhnya pula akan ditawarkan pada masa akan datang.
Peugeot 408 dijangka akan memasuki pasaran menjelang awal tahun 2023, dan akan dipasang di kilang Mulhouse, Perancis.












