
TESLA TAK LAKU, SEKARANG BOLEH SEWA DARI SEKITAR RM285 SEHARI!
Tesla kini berdepan dengan satu dilema baharu, terlalu banyak stok kenderaan elektrik (EV) tanpa pembeli.
Selepas kehilangan kelayakan insentif cukai persekutuan Amerika Syarikat, permintaan terhadap model Tesla menurun dengan ketara, menyebabkan banyak unit tidak terjual di pusat simpanan seluruh negara.
Bagi mengatasi keadaan ini, syarikat itu memperkenalkan strategi luar biasa, iaitu menyewakan sendiri kenderaannya terus kepada pengguna.
Program sewaan ini bermula di dua cawangan Tesla di California, iaitu di San Diego dan Costa Mesa, dengan rancangan untuk meluaskannya ke lokasi lain dalam masa terdekat.

Melalui program ini, pelanggan boleh memandu uji gaya hidup bersama Tesla dengan kadar sewa harian serendah AS$60 (sekitar RM285) untuk Model 3 atau Model Y.
Model paling kontroversi, Cybertruck, disewakan pada kadar AS$75 (RM355) sehari, manakala model mewah Model S dan Model X bermula dari AS$90 (RM425) sehari.
Namun, seperti biasa, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi. Tempoh sewaan minimum ialah tiga hari dan maksimum tujuh hari, dan semua pemandu hanya dibenarkan memandu di dalam negeri sahaja.
Walaupun Tesla menawarkan penggunaan tanpa had jarak perjalanan, kereta mesti dipulangkan dengan sekurang-kurangnya 50 peratus bateri, atau pelanggan akan dikenakan caj tambahan sebanyak AS$30 (RM140).
Buat masa ini, Tesla belum menjelaskan sama ada kadar sewaan itu termasuk perlindungan insurans atau tidak. Menariknya, hanya varian Premium ditawarkan, versi asas dan model berprestasi tinggi seperti Performance serta Plaid tidak termasuk dalam program ini.
Langkah ini dilihat sebagai strategi pemasaran baharu untuk menarik minat pelanggan yang ingin “menguji gaya hidup Tesla” sebelum membeli.
Malah, penyewa yang membuat tempahan pembelian dalam tempoh tujuh hari selepas sewaan akan menerima kredit tunai AS$250 (RM1,185) sebagai galakan tambahan.








