
LEBIH 10,000 UNIT TAK TERJUAL, CYBERTRUCK BUAT TESLA PANIK!
Tesla kini berada dalam kedudukan sukar apabila lebih 10,000 unit Cybertruck masih belum berjaya dijual, membayangkan jurang ketara antara harapan awal dan realiti pasaran semasa.
Sehingga Mei 2025, dianggarkan lebih 10,000 unit Cybertruck belum terjual, termasuk model keluaran 2024 yang tidak lagi layak untuk rebat cukai kerajaan Amerika Syarikat.
Nilai inventori ini mencecah kira-kira USD800 juta (sekitar RM3.75 bilion). Untuk menangani lebihan ini, Tesla telah memperlahankan pengeluaran di kilangnya di Texas dan memindahkan sebahagian pekerja ke barisan Model Y.

Pada suku pertama 2025, hanya sekitar 6,400 unit Cybertruck dihantar kepada pelanggan, merosot lebih 50 peratus berbanding suku sebelumnya.
Bagi menarik minat pembeli, Tesla menawarkan diskaun sehingga USD10,000 (sekitar RM47,000), namun sambutan tetap hambar, hanya kira-kira 100 unit terjual dalam tempoh beberapa minggu.
Kenapa Cybertruck Kurang Laku?
Beberapa sebab utama menyumbang kepada prestasi hambar kenderaan ini:
- Harga Jauh Lebih Tinggi
Harga asal yang dijanjikan ialah sekitar USD39,900 (RM187,000), namun model paling asas kini bermula pada USD60,990 (RM285,000), manakala versi tertinggi ‘Cyberbeast’ hampir USD100,000 (RM467,000). - Reka Bentuk Yang Terlalu Radikal
Reka bentuk luar biasa Cybertruck mungkin mengujakan peminat teknologi, tetapi sukar diterima dalam kalangan pembeli trak konvensional yang mahukan sesuatu lebih praktikal dan serba boleh. - Isu Kualiti dan Ketahanan
Beberapa masalah kualiti mula muncul termasuk penarikan balik kenderaan kerana komponen longgar dan kebimbangan keselamatan.
Prestasi Cybertruck yang mengecewakan memberi tekanan besar kepada Tesla, yang kini menyaksikan penurunan nilai saham sebanyak hampir 40 peratus sejak awal tahun.

Syarikat itu juga dijangka gagal mencapai sasaran pengeluaran tahunan sebanyak 250,000 unit Cybertruck yang pernah digembar-gemburkan.
Walaupun Elon Musk kekal optimis, Cybertruck kini dilihat bukan sekadar model tetapi satu simbol pertaruhan besar Tesla terhadap masa depan kenderaan elektrik yang kelihatan semakin goyah.
- BACA: MITSUBISHI XPANDER FACELIFT 2025 DILANCAR DI INDONESIA – RIM BAHARU, PAPARAN 10-INCI, HARGA BERMULA RM79K
- BACA: GAGAL BERSAMA HONDA, NISSAN ‘DEAL’ DENGAN TOYOTA PULA?!
- BACA: CFLITE DUAL 230 BAKAL MASUK MALAYSIA?
- BACA: SATU TIKET, SERIBU PENGALAMAN! KONSERT GT LIVE! BAKAL GEGARKAN SUPER GT MALAYSIA FESTIVAL 2025