
BYD, XIAOMI ATASI TESLA SEBAGAI PILIHAN UTAMA PEMBELI KERETA DI CHINA
Tesla tidak lagi menjadi pilihan utama dalam kalangan pembeli kenderaan elektrik (EV) di China, menurut satu tinjauan terbaharu oleh UBS.
Syarikat gergasi EV dari Amerika Syarikat itu kini ketinggalan di belakang pemain tempatan seperti BYD dan Xiaomi, yang semakin mendapat tempat di hati pengguna hasil gabungan teknologi canggih, tawaran produk, dan harga lebih bersesuaian dengan kehendak pasaran.
Hanya 14 peratus daripada responden di China memilih Tesla sebagai jenama EV pilihan utama mereka, satu penurunan berbanding 18 peratus pada tahun lalu, dan jauh merosot daripada kemuncaknya sebanyak 30 peratus pada tahun 2020.
Sebaliknya, BYD dan pendatang baharu Xiaomi terus mencuri tumpuan dengan pendekatan yang lebih agresif dari segi inovasi serta strategi harga.

Kemerosotan populariti Tesla bukan hanya berlaku di China. Di peringkat global, jumlah pengguna yang menyatakan Tesla sebagai pilihan utama menurun daripada 22 peratus kepada 18 peratus.
Di Amerika Syarikat, sokongan juga susut daripada 38 peratus kepada 29 peratus, manakala di Eropah kini hanya 15 peratus, dengan Audi dan BMW mendahului.
Setiap rantau mempunyai sebab tersendiri mengapa minat terhadap Tesla semakin luntur. Di China, Tesla tidak lagi dilihat sebagai peneraju teknologi. Di Eropah, imej Elon Musk yang sering menimbulkan kontroversi politik dilihat menjejaskan reputasi syarikat. Di Amerika, barisan model Tesla dianggap terhad dan harganya sukar diakses pengguna biasa.
Sebaliknya, Xiaomi, yang sebelum ini dikenali sebagai jenama teknologi pengguna, mula membuahkan hasil dalam usaha transisi ke sektor automotif.
Model SU7 mereka terjual sebanyak 26,223 unit pada April sahaja, melebihi angka jualan Tesla Model 3 dalam tempoh yang sama. Xiaomi turut memperkenalkan SUV YU7 dengan teknologi bantuan pemanduan dalam bandar dan skrin paparan besar, dengan harga dijangka lebih kompetitif berbanding Model Y milik Tesla.
BYD pula kekal unggul sebagai pengeluar EV terbesar di China dan mula mengukuhkan kehadiran di pasaran luar. Pada April, BYD buat julung kalinya mencatatkan jualan lebih tinggi daripada Tesla di Eropah.

Di China pula, jualan Tesla jatuh mendadak sebanyak 60 peratus dari bulan Mac ke April, kepada hanya 28,731 unit.
Pengeluar EV tempatan seperti Xpeng juga mula menyaingi Tesla secara terus, contohnya dengan menawarkan ciri pemanduan pintar pada harga separuh daripada Model 3. Malah, Xiaomi dan beberapa jenama lain sudah mula menjual kereta dengan sistem pemanduan autonomi tahap bandar (urban NOA) dalam julat harga sekitar 200,000 yuan (kira-kira RM130,000).
Berbanding itu, sistem FSD (Full Self-Driving) Tesla bukan sahaja lebih mahal, malah dilihat kurang memuaskan di pasaran China.
Data jualan dari Januari hingga April 2025 menunjukkan perbezaan ketara: Tesla menjual 163,338 unit di China, sedikit merosot sebanyak 0.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. BYD pula mencatatkan peningkatan sebanyak 12.9 peratus dengan 886,240 unit terjual, manakala Xiaomi melonjak drastik sebanyak 1,379.9 peratus kepada 104,454 unit.
Dalam landskap EV yang semakin kompetitif, jelas bahawa pengguna China kini lebih cenderung memilih produk tempatan.
BYD dan Xiaomi bukan sekadar mencabar Tesla, malah mereka sedang mengubah landskap pasaran dan persepsi pembeli terhadap apa yang sepatutnya ditawarkan oleh sebuah kenderaan elektrik moden.







