TOYOTA AKAN TIRU CARA SUZUKI HASILKAN MODEL KOS RENDAH DI INDIA
Toyota Motor Corp. dan Suzuki Motor Corp. kini meneroka peluang untuk mengembangkan kerjasama mereka di pasaran India.
Kerjasama itu melangkaui pembangunan kenderaan. Malah melibatkan penyumberan komponen sebagai salah satu usaha mengurangkan kos, terutama bagi model hibrid.
Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, Toyota Kirloskar Motor Pvt. Ltd (TKM) melantik pembekal Maruti Suzuki India Ltd (MSI) untuk beberapa model baharu Toyota. Antaranya model facelift Innova Crysta yang dijangka dilancarkan pada tahun 2021.
Langkah itu menyebabkan Toyota tidak lagi menggunakan khidmat vendor sebelum ini. Toyota juga akan menambah vendor Maruti ke dalam senarai mereka secara berperingkat-peringkat.
Bagi mengurangkan kos, para pengeluar kenderaan di seluruh dunia bekerjasama di antara satu sama lain untuk melabur dengan lebih efisien ke atas teknologi baharu dan mahal. Ini termasuklah rangkaian kuasa elektrik, hibrid dan kenderaan berautonomi.
Toyota dan Suzuki mula menjalin kerjasama pada tahun 2017 untuk menawarkan kenderaan hibrid serta elektrik mampu milik ke pasaran India.
Toyota bersetuju untuk membekalkan teknologi hibridnya kepada Suzuki. Kedua-dua syarkat itu kemudian bersetuju untuk menjual produk satu sama lain di India dan pasaran serantau.
Pada Februari lalu, Naib Pengerusi Toyota Kirloskar, Vikram Kirloskar menyatakan pihaknya sedang belajar bagaimana Maruti mampu menghasilkan kenderaan dalam jumlah yang besar, tetapi pada harga munasabah.
- BACA: INI SEBAB KENAPA TOYOTA MAHU JALIN KOLABORASI DENGAN SUZUKI
- BACA: HONDA TAMATKAN PRODUKSI BRIO DI INDIA – MAHU MAKSIMUMKAN JUALAN AMAZE
- BACA: KISAH KERETA BARU TOYOTA CELICA DAN COROLLA (1974) YANG TERSADAI CYPRUS
- BACA: SUZUKI THAILAND LANCAR CIAZ FACELIFT. 3 VARIAN, HARGA BERMULA RM70,644 SEUNIT