Buletin

INI SEBAB KENAPA TOYOTA MAHU JALIN KOLABORASI DENGAN SUZUKI

Sebenarnya, beberapa pengeluar kenderaan utama dunia seperti General Motor dan Volkswagen pernah cuba untuk menjalin kerjasama dengan Suzuki. 

Namun, Toyota dilihat lebih bernasib baik apabila pakar pembuat kereta kompak itu sedia berkolaborasi dengannya. Munggu lalu, Toyota mengumumkan ia akan membelanjakan ¥96 bilion (RM3.8 bilion) untuk membeli 4.9 peratus saham Suzuki.

Sementara Suzuki pula akan membeli 0.2 peratus saham dalam Toyota sebanyak ¥48 bilion (RM1.9 bilion). Rancangan untuk menjalin kerjasama sudah bermula sejak tahun 2016 sebagai usaha mendepani cabaran industri automotif berikutan perkembangan pesat kenderaan elektrik, pemanduan autonomi dan e-hailing. 

Kos untuk melabur dalam R&D teknologi masa depan itu sememangnya sangat mahal dan membebankan pengeluar kenderaan bersaiz kecil seperti Suzuki. Justeru, kerjasama dilihat sebagai cara terbaik untuk mengurangkan kedua-dua belah pihak. 

Biarpun begitu, ini bukanlah kerjasama pertama di antara Suzuki dan Toyota. Pada tahun 2017, kedua-dua buah syarikat telah menandatangani perjanjian persefahaman.

Toyota bersetuju untuk membantu Suzuki membangunkan rangkaian kuasa bercekapan tinggi dan berkongsi teknologi hibridnya dengan Suzuki. 

Persoalannya, kenapa ramai yang berminat sangat dengan Suzuki? Jawpaannya, India. 

Negara itu merupakan pasaran automotif yang keempat terbesar di dunia dan dilihat bakal menenggelamkan Jepun yang kini berada di kedudukan ketiga selepas China dan Amerika Syarikat (AS). 

Suzuki menerusi anak syarikatnya, Maruti Suzuki menguasai hampir 46 peratus jualan kenderaan penumpang di India. Di sana, Toyota sendiri pun susah nak capai tahap sebegitu.

Menerusi kerjasama modal yang terbaru ini, Suzuki bersetuju membekalkan dua kereta kompak kepada Toyota untuk dijual di India. Selain memproduksi sebuah SUV kompak Suzuki di kilang Toyota di sana. 

Di luar India, Toyota dan Suzuki mungkin kelihatan seperti satu pasangan yang pelik. Di peringkat global, Suzuki kekal sebagai pengeluar berskala kecil. Jenama itu keluar dari pasaran AS pada tahun 2012 dan China mulai tahun lalu. 

Namun di India, Toyota akan meraih banyak manfaat daripada Suzuki. Antaranya, Toyota dapat melihat bagaimana Suzuki menghasilkan kenderaan berkos rendah untuk pasaran-pasaran membangun.

Rantau itu dijangka menjadi pemacu kepada pertumbuhan jualan global pada dekad-dekad akan datang dan Suzuki dlihat berjaya menjual kereta murah tetapi berkualiti kepada mereka. 

Suzuki juga membawa skala pengeluaran tambahan. Sedia maklum bahawa Toyota sudahpun menjalin kerjasama dengan Subaru, Mazda dan Daihatsu. Hasilnya, ia kini mempunyai volum pengeluaran kenderaan mencecah 16.5 juta unit setahun. 

Pembentukan kerjasama pakatan modal itu akan fokus kepada teknologi pemanduan autonomi dan elektrik. 

“Industri automotif menyaksikan perubahan hala tuju yang tidak pernah diduga sebelum ini dari skop dan skalanya. Ia bukan sahaja kerana garis panduan alam sekitar yang semakin ketat, malah penyertaan daripada industri lain serta kepelbagaian perniagaan mobiliti,” kata Toyota dan Suzuki dalam satu kenyataan bersama.

Google ads
Back to top button