
SUZUKI THAILAND LANCAR CIAZ FACELIFT. 3 VARIAN, HARGA BERMULA RM70,644 SEUNIT
Suzuki Motor Thailand baru sahaja melancarkan sedan segmen B, Ciaz yang hadir dengan beberapa perubahan kosmetik.
Ini merupakan model facelift pertama Ciaz selepas dilancarkan di Thailand lima tahun lalu. India yang menjadi pasaran utama telah menerima versi tambah baik ini pada tahun 2018 lagi.
Perubahan paling ketara adalah pada bahagian hadapan yang dipasang gril dan lampu utama rekaan baharu. Tidak ketinggalan bampar baharu dengan kemasan krom pada perumah lampu kabus. Bahagian belakang juga menerima sedikit penambahbaikan.

Ciaz terus menggunakan khidmat enjin 1.2 liter empat selinder yang menawarkan penggunaan bahan api sekitar 20km bagi setiap liter petrol. Semua pesaingnya bagaimanapun mencatat penjimatan lebih baik iaitu sekitar 23km/l.
Antaranya ialah Honda City, Mazda2, Mitsubishi Attrage, Nissan Almera dan Toyota Yaris Ativ. Hanya dua model yang ditawarkan dengan enjin turbo iaitu City dan Almera.

Ciaz yang didatangkan dalam tiga varian dengan kotak gear CVT ditawarkan pada harga bermula 569,000 baht (RM75,415). Sementara varian manual 5-kelajuan berharga 533,000 baht (RM70,644) seunit.
Sedan itu dilengkapi dua beg udara sahaja dan tidak ada sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC).
Sedangkan Yaris Ativ ada tujuh beg udara dan ESC sebagai ciri standard untuk semua variannya.