Buletin

LEPAS LAMA BERDEGIL, TESLA KHABARNYA SETUJU APPLE CARPLAY JADI CIRI WAJIB

Tesla dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah besar yang sebelum ini dianggap mustahil: integrasi Apple CarPlay ke dalam barisan kenderaan elektriknya.

Menurut laporan Bloomberg, ciri popular itu berpotensi diperkenalkan “dalam beberapa bulan lagi”, bergantung kepada keputusan dalaman syarikat.

CarPlay, yang membolehkan paparan dan fungsi iPhone dipancarkan ke skrin infotainmen kenderaan, kini menjadi antara ciri paling dituntut pembeli kereta moden.

Hampir separuh pengguna global menyatakan mereka tidak akan membeli kereta baharu tanpa sokongan CarPlay, menyebabkan hampir semua pengeluar utama menjadikannya ciri standard.

Namun Tesla selama ini kekal sebagai pengecualian. Walaupun terkenal dengan kelebihan perisian dan kemas kini over-the-air, syarikat itu sering berdiri sendiri dalam pendekatan infotainmennya.

Elon Musk sebelum ini menegaskan sistem Tesla direka untuk menawarkan “hiburan maksimum”, termasuk permainan video, aplikasi penstriman muzik serta ciri-ciri ringan seperti kesan bunyi lucu yang menjadi perbualan ramai.

Tesla turut menawarkan Spotify, Tidal dan Apple Music secara terbina, tetapi tetap enggan membuka pintu kepada CarPlay.

Spekulasi mengenai perubahan pendirian ini muncul ketika Tesla berdepan tekanan jualan global dan barisan model yang semakin dianggap ketinggalan berbanding pesaing baharu dan lama.

Dengan pilihan EV semakin meluas, strategi eksklusif Tesla mungkin tidak lagi memadai untuk mengekalkan daya tarikan terhadap pelanggan baharu.

Jika ia menjadi kenyataan, Tesla akan menyertai pengeluar seperti Lucid yang mengambil masa sebelum menambah CarPlay, sementara Rivian masih menolak integrasi pihak ketiga atas alasan pengalaman pengguna.

 General Motors pula mengundang kontroversi apabila membuang CarPlay daripada EV terbarunya dan mungkin meneruskan langkah itu untuk model lain.

Buat masa ini, Tesla masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi. Namun laporan terbaru ini memberi bayangan jelas bahawa pengeluar EV terkemuka itu mungkin bakal melakukan pusingan U yang paling dinanti oleh pengguna Apple di seluruh dunia.

Google ads
Back to top button