Motosikal

PROTOTAIP MOTOSIKAL HIDROGEN KAWASAKI CURI PERHATIAN DI LITAR SUZUKA

Kawasaki Motors dengan rasminya mendedahkan prototaip sulung motosikal berkuasa hidrogen kepada orang ramai ketika minggu Suzuka 8 Hours di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun, baru-baru ini. 

Untuk rekod, Kawasaki membangunkan prototaip berkuasa hidrogen ini pada Mac tahun lalu dan ini merupakan kali pertama motosikal berkenaan ditayangkan kepada umum. 

Motosikal hidrogen tersebut dikuasakan enjin ‘Supercharged’ 4-silinder 998cc yang sama diguna pakai pada model H2 namun dengan beberapa modifikasi dilakukan untuk membenarkan suntikan bahan api hidrogen ke ruang pembakaran. 

Sementara itu, bahagian casis pula telah direka khas bagi membawa bahan api serta sistem pembekalan bahan api hidrogen. 

Walaupun masih di peringkat awal namun Kawasaki berjaya membuktikan bahawa penggunaan bahan api hidrogen adalah relevan sebagai alternatif kepada bahan api fosil. 

“Motosikal ICE berkuasa hidrogen tetap menawarkan sensasi dan deruman yang menjadi tarikan kepada peminat motosikal namun emisi yang terhasil daripada pembakaran ini hanyalah air. 

“Ketika ini, Kawasaki Motors sedang menjalankan penyelidikan dan pembangunan dengan misi menghasilkan motosikal ICE hidrogen yang berfungsi. Ini adalah inisiatif untuk mencapai neutral karbon seawal 2023,” jelas Kawasaki dalam satu kenyataan. 

Walaupun perincian lain masih lagi dirahsiakan termasuk kuasa dan tork dihasilkan serta kelengkapan lain diguna pakai namun kami jangkakan Team Green akan berkongsi lebih banyak maklumat pada masa akan datang. 

Google ads
Back to top button