Artikel Pilihan

KERETA GOLF BERKUASA HIDROGEN DARI YAMAHA – SEMUA BENDA YAMAHA BUAT NI

Kereta golf sebenarnya bukan kereta pun dan tak ramai antara kita memilikinya. Lain la kalau korang memang ada padang golf sendiri. Tapi tak kisahlah, janji ada tayar dan enjin kami tulis je. Rupanya Yamaha juga ada keluarkan kereta golf ataupun golf cart yang dinamakan Yamaha Drive2 Concierge 4.

Berbelit kan namanya? Model yang menjadi fokus kami pula dinamakan Yamaha Drive H2 dan ia diasaskan daripada model yang kami sebutkan tadi (malas nak taip lagi sekali).

Istimewa sangat ke kereta golf ni bang? Tentu sekali sebab ia adalah kereta golf pertama yang menggunakan enjin ICE dengan sistem bahan api hidrogen. Hebat tak? Padahal kereta golf je pun. Bukan jauh sangat nak bergerak.

Ia diperkenalkan di pertandingan PGA, Orlando, Florida minggu lepas dan dilengkapi dengan sepasang tangki hidrogen bertekanan tinggi. Kedua tangki tersebut mempunyai isipadu 25 liter setiap satu.

Satu tangki diletakkan di bawah tempat duduk pemandu dan satu lagi di belakang tempat duduk penumpang. Ideanya di sini ialah untuk menunjukkan bahawa enjin tradisional masih boleh digunakan walaupun banyak pihak yang mahukan dunia sifar karbon.

Yamaha telah pun menghasilkan generator dan kenderaan rekreasi luar bandar (ROV) yang menggunakan enjin berkuasa hidrogen yang langsung tidak menghasilkan CO dalam proses pembakaran.

Ia sebenarnya teknologi yang sedang giat dibangunkan Toyota ketika ini. Syarikat gergasi dari Jepun itu telah menghasilkan dua prototaip jentera perlumbaan yang menggunakan kuasa hidrogen: Toyota GR Yaris dan GR Corolla. Keduanya menggunakan enjin 1.6 liter turbo berkuasa petrol tapi telah diubah suai untuk supaya boleh digantikan dengan hidrogen.

Bahkan awal bulan ini, AVL Racetech dari Austria telah menunjukkan sebuah enjin 2.0 liter turbo petrol yang kini digantikan dengan hidrogen mampu menghasilkan kuasa maksima 405hp pada 6500rpm dan 510Nm! Patutlah Toyota berkeyakinan penuh yang hidrogen mampu menyelamatkan masa depan kereta lumba yang menggunakan enjin ICE.

Namun buat masa sekarang kereta golf hidrogen ini masih di peringkat konsep tapi mana tahu satu hari nanti kan? Tapi kalau nak beli sekarang pun boleh kereta golf Yamaha ini. Dua varian ditawarkan: varian menggunakan enjin ICDE 357cc ataupun varian EV dengan motor elektrik yang mampu menghasilkan 6.7hp jika anda ingin menyelamatkan dunia.

Google ads
Back to top button