
GWM PAMER TEKNOLOGI HIBRID PINTAR DI GATE 2025, UMUM GWM WEY G9 TIBA AWAL 2026
GWM Malaysia mengukuhkan komitmennya terhadap mobiliti pintar dan lestari menerusi penyertaan di Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2025, sambil meraikan ulang tahun ketiganya di pasaran tempatan.
Seiring pengembangan operasinya, GWM memperluas program lokalisasi dengan bekerjasama bersama vendor tempatan dalam penghasilan modul tempat duduk, wayar litar, sub-rangka, trim pintu dan bateri.
Komponen lain seperti sistem ekzos, karpet dan suspensi turut dirancang untuk dilokalkan dalam masa terdekat. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan penyertaan industri tempatan, tetapi juga membuka peluang pekerjaan mahir dan menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab serantau kenderaan tenaga baharu.

Daya tarikan utama GWM di GATE 2025 ialah teknologi hibrid pintar Hi4, sistem pacuan empat roda dwi-motor yang direka untuk memberi prestasi seperti 4WD dengan kecekapan 2WD.
Dibangunkan melalui rangkaian R&D global syarikat itu, Hi4 menyelaraskan kuasa elektrik dan petrol secara automatik untuk pemanduan yang lancar, berkuasa dan jimat.
“Hi4 adalah langkah seterusnya dalam teknologi hibrid, lebih pintar, efisien dan lebih mudah diakses,” kata Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anqi.
GWM WEY G9 Tiba Awal 2026

Memperkenalkan era baharu untuk jenama itu, GWM mengesahkan perancangan membawa MPV mewah WEY G9 ke Malaysia pada awal 2026. Model ini akan menjadi kenderaan pertama di negara ini yang menampilkan sistem Hi4 Intelligent Hybrid 4WD.
Berteraskan slogan “First-Class for All”, WEY G9 menawarkan gabungan ruang premium, teknologi pintar dan kecekapan hibrid yang disesuaikan untuk kegunaan keluarga di Malaysia.
“WEY G9 akan membawa standard baharu dalam segmen MPV hibrid premium,” kata Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah.
Di China, WEY G9 mencatat lebih 10,000 unit jualan pada Oktober 2025, sekali gus memantapkan kedudukannya dalam pasaran MPV petrol, hibrid dan EV. Pencapaian tersebut menjadi bukti kukuh terhadap kualiti pembinaan, teknologi canggih dan keupayaan hibrid Hi4 yang ditawarkan model ini.

Menuju Masa Depan Mobiliti Pintar
Dengan pelancaran teknologi Hi4 dan kemunculan WEY G9 tahun depan, GWM melihat Malaysia sebagai pasaran penting untuk memperkenalkan mobiliti pintar yang lebih berpatutan dan boleh diakses.
“Komitmen kami bukan sekadar pada produk, tetapi kepada kepercayaan pengguna dan pembangunan jangka panjang,” ujar Roslan.
GWM kini giat memperluas rangkaian pengedar dan menawarkan teknologi baharu bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia merasai pengalaman automotif yang inovatif, praktikal dan bernilai.









