,
Buletin

TOYOTA FORTUNER, 7 TEMPAT DUDUK, KUASA 204PS 500NM!

Serentak dengan pengenalan Hilux yang ditingkatkan, Toyota turut memperkenalkan Fortuner yang dinaik taraf di Thailand dan Australia. Jika Hilux mempunyai dua wajah berlainan, Fortuner juga sama malah turut berbeza dari segi corak lampu utama.

Pengenalan model yang sama dengan dua penampilan berbeza mempamerkan kekuatan Toyota di atas satu model sama.

Di Thailand, Fortuner Legender dijadikan varian premium dengan beberapa kelebihan berbanding Fortuner lain.

Di Australia pula, gambar yang diedarkan ini mirip kepada Fortuner Legender. Australia merupakan pasaran penting buat Toyota dengan Hilux mencatat jualan tertinggi untuk satu tempoh yang lama.

Toyota Hilux Invincible pasaran Eropah

Fortuner di Australia dibahagikan kepada tiga gred iaitu GX, GXL dan Crusade. Model 2020 tampil dengan bampar baharu sporti, lampu kabus kecil yang elegan dan lampu utama LED jenis nipis dan nampak garang.

Varian Crusade mempunyai lampu belakang LED dengan kluster baharu.

Model-model baharu Toyota membawa gayaan garang sebegini merentasi pelbagai segmen dari sedan eksekutif hingga ke MPV keluarga. Lihat sahaja betapa garang Toyota Vellfire dan Alphard.

Toyota Fortuner pasaran tempatan

Pada bahagian dalam, Fortuner dipasangkan skrin paparan lapan inci (tujuh sebelum ini) dengan fungsi Apple CarPlay® dan Android Auto untuk integrasi telefon pintar.

Navigasi satelit dan radio digital (DAB) pula ciri standard untuk Fortuner GX dan Crusade.

Selain perubahan luar dan dalam, enjin turut disentuh dengan penambahan kuasa. Enjin 2.8 liter diesel turbo kini berkuasa 204 ps dan tork 500Nm.

Sentuhan baharu menyaksikan peningkatan kuasa sebanyak 27 ps dan 50Nm.

Selain itu, kadar penggunaan minyak Fortuner baharu terutama sekali pemanduan di bandar jimat sehingga 17 peratus. Ia hasil dari beberapa langkah tambahan seperti memperbaiki tahap penyejukan.

Tidak dapat dipastikan berapa penggunaan sebenar memandangkan angka rasmi belum dikeluarkan. Peratusan itu adalah satu penurunan signifikan.

Turut bertambah ialah keupayaan tunda maksimum jenis treler dengan brek (braked towing capacity) yang meningkat 300kg kepada 3,100kg.

Melalui pengenalan baharu, jelas Toyota mengambil berat tentang Fortuner dan bukan sekadar perubahan kosmetik sahaja.

SUV tujuh tempat duduk ini dijadual untuk memasuki pasaran Australia pada Ogos 2020. Sejak diperkenalkan pada pertengahan 2015, lebih 15,000 unit Fortuner berjaya dijual atau secara purata 3,000 unit setahun.

Di Thailand, Fortuner versi asas diedarkan pada Jun manakala Fortuner Legender pula pada Ogos.

Untuk pasaran tempatan, masih terlalu awal bagi mengetahui bila Fortuner facelift dijual. SUV ladder frame begini satu pilihan bagus kerana kegunaannya yang lasak dan semestinya kebolehan untuk membawa ramai penumpang.

Di pasaran tempatan, Toyota Fortuner sedia ada dijual dari RM172,000 hingga RM196,000.

Kredit foto: Toyota Australia

Tags
Google ads
Back to top button