Buletin

TOYOTA HILUX 2020 DENGAN ENJIN 2.8L, 204HP 500NM!

Segmen pikap saiz sederhana semakin menarik apabila Toyota Hilux yang facelift diperkenalkan secara serentak di beberapa buah pasaran seperti Thailand, Australia dan Eropah.

Segmen ini sebenarnya sudah pun menarik melalui Ford Ranger dan Ranger Raptor bernadikan enjin 2.0 liter bi-turbo dan transmisi sepuluh kelajuan automatik diperkenalkan sebelum ini.

Toyota Hilux facelift mempunyai beberapa versi mengikut pasaran dan ada satu enjin baharu iaitu 2.8 liter 1GD-FTV berkuasa 204hp dan tork 500Nm untuk pengguna di Eropah.

Dari segi prestasi, Hilux dengan enjin 2.8 liter mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa sepuluh saat sahaja dan lebih hebat lagi 2.8 saat pantas berbanding versi 2.4 liter sedia ada.

Kadar penggunaan bahan api purata ialah 7.8l/100 km. Transmisi pula ada dua pilihan iaitu enam kelajuan manual atau enam kelajuan automatik dan dipadan bersama pacuan 4WD.

Hilux Invincible seperti dalam gambar adalah varian tertinggi Hilux pasaran Eropah.

Ia dibangunkan untuk pengguna yang mahu kenderaan lasak dengan gaya dan kelengkapan penuh.

Ada dua jenis gayaan badan ditawarkan iaitu Extra Cab dan Double Cab.

Ciri eksklusif pada Invincible ialah gril depan, bampar, skid plate, arka roda, pemegang pintu, roda dan rekaan pintu kargo.

Bahagian dalam Hilux Invincible dilengkapi dari varian High dengan combimeter pemandu, riasan hitam metalik dan krom hitam dan kunci akses pintar.

Varian Double Cab dilengkapi nyalaan biru jernih pada pintu depan belakang dan kerusi balutan kulit dua tona.

Secara amnya, Hilux facelift mempunyai bahagian depan garang dengan lampu LED baharu termasuk lampu belakang yang nampak sofistikated.

Hilux facelift pasaran Eropah dilengkapi sistem multimedia dengan skrin lapan inci dan kawalan butang mekanikal dan sesentuh.

Sistem tersebut mempunyai sambungan Apple CarPlay® dan Android Auto™ bagi integrasi telefon pintar. Kelengkapan ala sedan premium tidak terhenti di situ.

Lagi senarai yang ada ialah sistem akses pintar, butang penghidup enjin, navigasi satelit, penyaman udara automatik, sembilan pembesar suara JBL Premium Sound System dan penguat (amplifier) 800W lapan siaran dan teknologi CLARi-Fi.

Selain banyak kelengkapan baharu, jurutera Toyota turut menambah baik suspensi dan sistem stereng berkuasa.

Penalaan dibuat semula pada penyerap hentak depan dan belakang, rekaan spring daun diperbaiki serta sesendal (bushing) baharu.

Hasil yang dimaklumkan ialah pemanduan menjadi lebih lancar dengan impak dikurangkan semasa melalui permukaan berlubang.

Keupayaan off-road turut ditambah baik dengan fungsi elektronik yang menyamai kesan LSD mekanikal (model 2WD), penurunan putaran enjin ketika melahu dari 850 rpm kepada 650 rpm dan respon pedal minyak yang ditala untuk lebih kawalan pemanduan.

Turut dikemaskini ialah sistem VSC dan paparan sudut tayar baharu.

Pengguna di Eropah mempunyai pilihan aksesori rasmi seperti sports bar, penutup kargo aluminium boleh lipat, pengunci pintu kargo, hardtop dan soket kuasa 12V.

Toyota Hilux Invincible adalah lawan setara pelbagai pikap lain di pasaran yang menyerlah dengan ciri sporti dan premium. Saingan utama ialah Ford Ranger Wildtrak.

Untuk Ford Ranger Raptor, perlu tunggu GR Hilux andaikata Toyota mempunyai perancangan mengenainya.

Jualan Hilux facelift untuk pasaran Timur Eropah dijadual pada Julai dan Oktober 2020 bagi pasaran Barat Eropah.

*Data prestasi dan penggunaan minyak mengikut NEDC dan bergantung pada homologasi akhir

Kredit foto: Toyota

Tags
Google ads
Back to top button