Buletin

TOYOTA GR YARIS RS, ENJIN 1.5L 3 SILINDER DAN CVT

Toyota GR Yaris sebenarnya adalah sebuah raksasa yang dipakejkan di dalam kereta bandar. Segala-galanya hebat mengenai model ini dari sentuhan Tommi Makkinen hingga setiap perinciannya.

Kehebatan itu menarik mata dan hati ramai dan Toyota sebagai firma perniagaan memang mahir tentang skala ekonomi dan citarasa pelanggan. 

Toyota mengumumkan tiga varian GR Yaris untuk pelbagai jenis pelanggan di Jepun, dari versi hardcore hingga yang sopan di jalanan. 

Varian tersebut ialah Toyota GR Yaris RZ, RC dan RS yang kesemuanya mempunyai ciri berbeza dari asas sama.

Toyota GR Yaris RZ High-Performance First Edition

Satu perkara yang menarik di antara tiga varian itu ialah GR Yaris RS. Akronim RS biasanya sinonim dengan model sporti atau kosong yang dikhususkan untuk pelumba atau pasukan rali.

Dari segi hirarki, Toyota menyusun GR Yaris RZ sebagai model hardcore yang boleh digunakan di jalanan dan acara perlumbaan atau hari litar.

GR Yaris RC pula mengambil tempat RS dengan spesifikasi kosong dan sedia untuk dilumba. Model ini berkongsi nadi kuasa 1.6 liter turbo, kotak gear dan pacuan empat roda sama seperti GR Yaris RZ.

Beza ketara ialah banyak kelengkapan ditanggalkan dengan berat 30kg lebih ringan berbanding 1280kg pada GR Yaris RZ.

Dari tiga GR Yaris, varian RS lebih mesra jalanan dengan spesifikasi berikut:

  • Enjin 1.5 liter Dynamic Force (M15A-FKS) tiga silinder
  • Kuasa 120 PS dan tork 145 Nm
  • Transmisi Direct Shift-CVT (dengan 10 kelajuan Sequential Shiftmatic)
  • Pacuan dua roda depan
  • Roda 18 inci dengan tayar 225/40
  • Berat kereta 1,130kg

Perincian lain seperti tahap ketegaran dan komponen suspensi belum didedahkan dan kami teruja untuk mengetahuinya.

Dengan spesifikasi yang digunakan berkemungkinan GR Yaris RS paling mampu milik berbanding dua lagi varian. Tawaran tiga varian lengkap sebenarnya untuk Jepun dengan Eropah hanya menerima GR Yaris RZ sahaja.

Toyota telah membuka pra tempahan GR Yaris secara dalam talian dengan anggaran 6,000 pesanan diterima di Jepun dan Eropah. Ia jumlah tinggi untuk sebuah kereta dengan segmen niche.

Kesemua pengeluaran GR Yaris dibuat di kilang Toyota Motomachi dengan line pemasangan yang dikhaskan untuk model itu. Kilang Motomachi mempunyai sejarah panjang dan rekod kukuh dalam mengeluarkan model sport.

GR Yaris dipasang oleh karyawan berpengalaman atau takumi bagi menjamin kualiti dan keistimewaannya.

Setelah dikhabarkan GR Yaris mahu ditawarkan di pasaran tempatan, kami ternyata jika model yang lebih mesra jalanan ini juga akan dibawa? Walaupun dikhaskan untuk pasaran Jepun, ia sebenarnya satu tawaran menarik untuk pengguna tempatan.

BACA: TOYOTA GR YARIS DAH BOLEH TEMPAH – RM156K DI JERMAN!

BACA: PADA 2008 TOYOTA iQ DIPERKENAL, KERETA KECIL TANPA 660CC TURBO

BACA: TOYOTA VENZA (HARRIER REBADGE) DIPERKENAL DI AS!

Kredit foto: Toyota

Google ads
Back to top button