Buletin

PADA 2008 TOYOTA iQ DIPERKENAL, KERETA KECIL TANPA 660CC TURBO

Melihat kepada kereta mikro hari ini timbul persoalan berapa ramai penumpang yang boleh dimasuki dan bagaimana tahap keselesaannya? Kereta mikro sebenarnya adalah sebahagian daripada sejarah automotif dunia.

Di antaranya ialah Messerschmitt KR200, Heinkel Kabine dan BMW Isetta. Pengeluar Jepun juga giat mengeluarkan kereta mikro dan ia boleh dilihat sehingga hari ini.

Mencetuskan semula fenomena kereta mikro ialah Smart Fortwo yang diperkenalkan pada 1998 dan sehingga kini berada pada generasi ketiga.

Fortwo semasa diperkenalkan memang popular yang kemudian disusuli model lain seperti Roadster dan Forfour. Kereta ringkas nama pun mudah disebut.

Bercakap tentang model mikro, pesaing dari Jepun yang sememangnya pakar di dalam segmen itu turut mempunyai model yang dijual di pasaran antarabangsa.

Pada 2008, Toyota iQ diperkenalkan di Pameran Kenderaan Geneva dengan jualan di Jepun bermula November tahun sama dan Eropah pada Januari 2009.

Menariknya model ini direka di studio reka bentuk Toyota di Nice, Perancis.

Dari luar nampak seperti kereta dua penumpang, iQ sebenarnya mempunyai kerusi 3+1 dengan akronim i merujuk kepada innovation dan intelligence. 

Q pula bermaksud quality dan boleh juga bermakna cubic yang memberi cue (bayangan) kepada nilai dan gaya hidup baharu.

Dari segi reka bentuk, iQ membawa pengaruh dari Jepun atau J-Factor pada terasnya. Ia datang dari pelbagai elemen yang berlawanan di antara satu sama lain.

Contoh elemen yang berlawanan ialah kecil tetapi luas, berteknologi tinggi tetapi kemanusian dan beremosi tetapi berfungsi. Ciri tersebut dijelmakan pada sebuah kereta yang menarik, moden dan menarik di peringkat global.

Dari segi nadi kuasa, iQ tidak menggunakan enjin 660cc turbo seperti kei-car di Jepun dan tidak pernah menggunakan sesaran tersebut.

Bergantung kepada pasaran, sepanjang penawarannya iQ ditawarkan dengan enjin 1.0 VVT-i 1KR-FE, 1.33 Dual VVT-i 1NR-FE dan 1.4 D4D (1,364 cc) diesel 1ND-TV.

Enjin 1.0L mempunyai pilihan transmisi manual lima kelajuan dan CVT, 1.33L enam kelajuan dan CVT manakala 1.4L diesel pula enam kelajuan manual.

Kuasa enjin 1.0L ialah 67 hp pada 6,000 rpm dengan tork 98 Nm pada 4,800 rpm. Enjin 1.33L berkuasa 97 hp pada 6,00 rpm dan tork 123 Nm pada 4,400 rpm. Enjin 1.4L 89 hp pada 3,400 rpm dengan tork 190 NM dari 1,800 rpm hingga 3,200 rpm.

Bagaimana Toyota boleh memuatkan enjin besar pada sebuah kereta kecil muatan penumpang 3+1?

Ia adalah kehebatan dan keunikan Toyota iQ. Sebagai rujukan, iQ hanya berukuran 2,985mm panjang dan 1,500mm tinggi. Trick iQ turut terletak pada jarak roda 2,000mm.

Toyota iQ berada di pasaran untuk beberapa tahun dan menariknya turut dijenamakan semula sebagai Scion iQ (subsidiari Toyota) untuk pasaran Amerika Syarikat serta Kanada dan model premium Aston Martin Cygnet pada 2011.

Lebih mengujakan pada tahun 2018 ada sebuah unit one-off Cygnet dengan enjin 4.7 liter V8 yang diambil dari model Vantage S!

Walaupun sudah ditamatkan, Toyota iQ sebenarnya masih ada, dilesenkan dan diubah suai menjadi Singulato IC3 di China. 

BACA: TOYOTA VENZA (HARRIER REBADGE) DIPERKENAL DI AS!

BACA: TOYOTA 86 BLACK LIMITED. EDISI TERAKHIR 86, KHAS UNTUK PASARAN JEPUN SAHAJA

BACA: PADA 1994 TOYOTA RAV4 DIPERKENAL, SAIZ TAK SAMPAI 4 METER PUN!

Kredit info: Toyota, Wikipedia. Foto: Toyota

Google ads
Back to top button