Artikel Pilihan

8 PERKARA TAHYUL DALAM AUTOMOTIF MALAYSIA. KALAH TOK BOMOH

IT atau Information Technology adalah perkataan yang mula dipelajari oleh penulis pada tahun 1998. Dulu kalau nak belajar, pergi sahaja ke perpustakaan dan bacalah buku. Tapi pada tahun 2020, semua maklumat dan informasi akan sampai kepada pembaca dengan sentuhan di telefon pintar. Video, audio, animasi dan teks maklumat cepat tersebar dengan pelbagai cara

Media massa, Wassap, Facebook dengan mudah menjadi media untuk menyampaikan maklumat. Masalahnya ialah adakah maklumat tersebut benar dan tepat? Adakah yang menyampaikan maklumat mempunyai kredibiliti untuk bercakap tentang sesuatu perkara yang disampaikan? Adakah dia mempunyai diploma, ijazah, Master atau PhD dalam contoh kejuruteraan automotif sebelum bercakap?

Penulis hanya mempunyai pengalaman bekerja dalam bidang automotif selama 7 tahun (dari pembuatan, supply chain, audit, service dan baik pulih), ijazah dalam automotif dan menjalankan perniagaan berasaskan pengangkutan. Jadi untuk tidak nampak buat-buat pandai (orang kampung sebut buat bijjok) penulis hanya berkongsi tentang kejuruteraan dan automotif saja.

Tiada ulasan politik (kecuali bergurau), ulasan bagaimana Kimi Raikonen bermain bola, ulasan berkenaan jaring bola boleh digunakan untuk menjala atau bercakap berkenaan Freemason dan New World Order. Berbincang hanya atas kebenaran dan disiplin ilmu sahaja. Apa yang kita hadapi kini ialah pakar-pakar buatan sendiri yang mengulas tentang automotif.

Semua ulasan tahyul, teknik merapu, kaedah sesedap rasa dan pelbagai merepek yang diulas oleh pakar Facebook. Sesekali kami akan cuba membalas falasi tersebut dengan fakta dan kebenaran, namun masyarakat sudahpun menerima maklumat palsu tersebut dan ia beredar dan berulang-ulang. Jadi kami senaraikan di sini beberapa perkara palsu yang beredar dan sentiasa dikitar semula oleh laman web haiwan, ikan, buah-buahan oleh media baru nak up

Benda salah apabila diulang siar beribu kali akan dianggap betul oleh masyarakat. Dah macam brainwash

1. Minyak masak boleh digunakan sebagai minyak pelincir enjin– ya perkara ini tular pada bulan May 2019 apabila seorang pemuda menggunakan minyak masak peket sebagai minyak pelincir pada kereta sedan milik beliau. Apabila perkara ini tular, maka kami membetulkan falasi ini dengan artikel kami di SINI.

Selain minyak masak, anda boleh cuba menggunakan minyak belacak dan minyak lintah pada enjin kereta anda. Mungkin pistonnya akan tegak berdiri dan senang hidup pada waktu pagi.

2. Servis berkala enjin – berdasarkan fahaman yang sudah ketinggalan zaman pengguna sudah hadam dengan fakta. Minyak mineral boleh digunakan sehingga 5000km, minyak semi-sintetik sela masanya 7000km dan minyak sintetik penuh ialah 10,000km. Ini tidak tepat dan releven lagi tuan. Jangan rasa malu jika anda pun tersilap fakta kerana Penasihat Servis jenama terkemuka pun boleh silap.

Jadi berdasarkan pengalaman penulis yang pandai mengadu domba kepada ibu pejabat syarikat, maka penasihat servis dinasihatkan oleh penulis secukupnya. Kami ulas panjang lebar berkenaan isu ini di SINI. Kalau pakai minyak gamat asli mungkin 10 tahun sekali baru servis kotttt.

3. Push start button kena tekan 3 kali – seorang pengguna kereta berjawatan tinggi dalam bidang pendidikan mula menularkan teknik ini dalam ciapan pada tahun lepas. Ia menjadi tular selepas beberapa laman web menyiarkan artikel berkenaan teknik menghidupkan kereta.

Menurut ciapan asal, pemandu perlu menekan butang penghidup kereta sebanyak 3 kali bagi memastikan sistem push start ini tahan lama. Rakan media dari web paultan.org iaitu Tuan Farid telah menjawab isu ini dengan panjang lebar di SINI. Rajin-rajin la baca ye.

Terbaru ia dimuat naik oleh seorang pemandu wanita. Orang perempuan ini mudah stress, nak lilit tudung 5 kali pun dah stress. Jangan bebankan mereka dengan tekan butang 3 4 kali. Oh ya, jika anda tekan butang penghidup selama 30 saat, kereta anda akan terbang. Cubalah…

4. Petrol RON 97 lebih power – ia ditularkan oleh media menerusi satu video yang mengatakan enjin kereta kecil (Myvi, Axia, Saga, Bezza) perlu bekerja 2 kali ganda lebih kuat jika menggunakan petrol RON 97. Penulis amat kagum dengan keyakinan pengacara menyampaikan maklumat yang salah.

Isu ini telah diulas oleh Mekanika di pautan INI lama sebelum versi video mulai disebarkan. Panjang lebar kami ulas berkenaan petrol, nisbah mampatan, kecekapan thermodinamik dan bagaimana memilih samaada RON 95 atau RON 97. Kami juga dengan baik hati membetulkan maklumat pengacara yang mengatakan saiz enjin Axia adalah 1300cc di SINI

5. Bila balik kampung, hamparkan toto di tempat duduk belakang agar anak boleh tidur selesa – seperti biasa ia ditularkan dalam laman sosial dan web yang bukan berkaitan automotif pada tahun lepas, atas alasan anak boleh tidur lena dalam perjalanan ketika pulang beraya. Isu yang kami bangkitkan di sini ialah isu keselamatan anak-anak kecil.

Sampai bila kita perlu melihat kejadian anak kecil terhumban keluar ketika kemalangan akibat tidak menggunakan tali pinggang keselamatan dan juga kerusi bayi. Kami menyedarkan pembaca berkenaan bahaya isu ini melalui artikel INI dan bagaimana memilih kereta yang sesuai untuk memuatkan kerusi bayi.

Jadilah ibu bapa yang bertanggung jawab atau gunakan getah

6. Alat penjimat petrol – dijual secara berleluasa di laman sosial dengan kaedah pembuktian secara testimoni. Ingat tuan tuan, kajian saintifik menolak kajian testimoni berdasarkan feel good atau placebo effect atau testimoni video. Dah macam jual ubat kuat pula. Jadi kami mengupas isu ini secara mendalam di SINI

Malah kami mengupas secara mendalam bagaimana enjin lama boleh dipulihkan secara efektif dengan kos rendah di SINI. Yang untung di sini ialah penjual, bukan pembeli. Jadilah penjual yang amanah dalam menjual, jangan ingat nak kaya saja.

7. CVT adalah transmisi yang paling lemau – Pengguna di Malaysia membuat persepsi bahawa transmisi CVT adalah lemau dan tidak boleh diharap. Kami tidak menyalahkan pengguna kerana pengguna mulai kenal CVT dengan memandu kereta CVT bermula dengan Saga FLX CVT yang dibekalkan oleh Punch. Habis rosak nama CVT disebabkan oleh Punch ni.

Jadi untuk membetulkan persepsi ini dimana pengeluar lain yang tidak bersalah merasai tempias (Honda, Toyota, Lexus) maka penulis menghasilkan 5 artikel berkenaan CVT dan anda boleh baca bermula dengan artikel no 1, 2, 3, 4 dan 5. Oh ya kereta penulis dengan transmisi CVT dah cecah 150k km dah.

8. Tuil Signal adalah hiasan semata-mata – ya ramai yang tak gunakan isyarat menukar lorong atau signal ketika memandu. Kadang kala penulis juga terleka sebab terlupa menggunakan signal, jadi ini juga pesanan ikhlas penulis kepada diri sendiri juga. Jadi gunalah signal ye, jangan sampai Abam Japar buat video tik-tok cara gunakan signal.

Google ads
Back to top button