TOYOTA HIACE PATUT ADA VERSI TRD MACAM MS-RT TRANSIT CUSTOM INI!
Scene van dalam negara kita memang meriah. Tapi sayangnya meriah dekat pembeli sahaja tanpa tawaran menarik daripada pengeluar. Walaubagaimanapun, pujian dan penghargaan perlu diberikan kepada Edaran Tan Chong Motors yang menawarkan Nissan Serena IMPUL.
Bukan setakat Serena, Nissan X-Trail yang merupakan SUV pun sudah lama ada kit badan dari pengeluar. Siap dengan spring rendah lagi.
Scene van sememangnya berpusat di negara Jepun tetapi pada masa yang sama tidak menghalang pengeluar negara ‘mat saleh’ untuk turut sama menyertainya.
Lebih mengujakan apabila ia dikeluarkan oleh M-Sport yang merupakan pengendali kereta lumba Ford dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC).
Van sememangnya adalah pengangkutan rasmi pasukan rali di serata dunia dan jika sesiapa yang masih ingat, Petronas Eon Racing Team (PERT) dulu juga mempunyai van yang boleh tahan ranggi setara kereta rali Proton Wira (Evolution) mereka.
Ini pula Ford Transit yang diubahsuai menjadi MS-RT Custom. Memang cun habis dan rasanya sayang pula nak buat angkut barang sebab kalau parkir dekat vallet Pavilion pun nampak jahat.
Menurut M-Sport, van ini dihasilkan bagi menjalankan tugasnya sebagai van dan pada masa sama nampak elok dalam proses tersebut.
Di bawah ialah ciri-ciri pada MS-RT Transit Custom:
- Kit badan lebar (wide body)
- Kit badan yang terdiri daripada bamper, diffuser depan dan belakang, skirt sisi, spoiler belakang
- Sistem ekzos berkembar
- Roda aluminium 18 inci Anthracite OZ Racing
- Tayar 103 XL Hankook Ventus S1 evo2
- Spring rendah Eibach
- Bahagian dalaman yang dibalut dengan kulit nappa dan suede
- Stereng MS-RT dengan kemasan gentian karbon
- Karpet MS-RT
Menggerakkan Transit ini ialah enjin EcoBlue EcoBlue 2.0 liter TDCi dengan kuasa 170 PS dan tork 405 Nm. Enjin tersebut boleh disuaikan dengan transmisi lima kelajuan manual atau enam kelajuan automatik.
Pembeli juga boleh memilih konfigurasi kerusi sama atau jenis badan seperti van panel dua kerusi, tiga kerusi, lima kerusi double cab atau enam kerusi double cab.
Bukan setakat jenis badan, pembeli juga boleh memesan van jenis panjang atau pendek, pintu kargo jenis buka atas atau pun pintu berkembar bukaan kiri dan kanan.
Selain itu, kelengkapan van ini bukan dikeluarkan dari kilang Ford tetapi dipasang dengan tangan di kilang M-Sport di Pontypool, South Wales.
BACA: TOYOTA HIACE H200 – KALAU KENA GAYA, MEMANG STAIL JUGA
BACA: NISSAN SERENA NISMO INI BOLEH DIPESAN DENGAN KERUSI RECARO & TAYAR POTENZA RE003
M-Sport baru sahaja mengumumkan penawaran van ini dan harga masih belum diketahui. Rasanya selain daripada Ford Mustang yang diimport dari UK, pengimport bebas boleh juga mengimport masuk van ini.
Baru ngam teruk dengan pembeli Mustang yang rata-ratanya usahawan belia dan bergaya!