Buletin

TOYOTA LANCAR AGYA GR SPORT DI INDONESIA. AXIA VERSI SPORTY, BERMULA RM45K

Baru-baru ini, Toyota telah menjenamakan semula TRD Sportivo kepada Gazoo Racing (GR Sport) di pasaran Indonesia. Sedia maklum, ia merupakan varian flagship yang lebih sporty berbanding model standard. 

Di Indonesia, kenderaan Toyota dijual oleh pihak Toyota Astra Motor. Jadi, pelanggan sudah boleh mendapatkan varian GR Sport yang dimulakan dengan model Toyota Raize pada April lalu. Kini tawaran varian GR diperluaskan kepada model-model Toyota yang lain pula. 

Antara yang paling menarik perhatian ialah model kompak Agya atau lebih dikenali sebagai Perodua Axia di Malaysia. Seperti yang dijangka, ia hanya melibatkan naik taraf dari segi penampilan sahaja. Aspek kuasa dan pengendalian kekal sama. 

Bagi memastikan Agya GR Sport tidak dikenali dengan varian lain, lencana GR Sport boleh didapati di banyak tempat. Penampilan sporty itu juga ditingkatkan dengan spoiler pada bampar hadapan, bampar belakang, skirting sisi, spoiler belakang berwarna hitam dan rim rekaan baharu bersaiz 14 inci. 

Jentera berkenaan masih menggunakan enjin empat silinder sebaris bersesaran 1.2 litar berkuasa 88PS dan tork 108Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik atau manual. 

Pelanggan boleh membeli Agya GR Sport pada harga bermula 154.5 juta Rupiah (RM45,000) bagi versi manual dan sehingga 170.4 juta Rupiah (RM50,000) bagi transmisi automatik 4-kelajuan.  

Terdapat tujuh warna untuk dipilih iaitu merah, oren metalik, kuning, putih, hitam, perak dan kelabu metalik.  

GALERI

Google ads
Back to top button