Buletin

TOYOTA LANCAR AVANZA DAN VELOZ BAHARU DI INDONESIA. PLATFORM DNGA, HARGA BERMULA RM60,000

Toyota Astra Motor melancarkan generasi baharu model kenderaan pelbagai guna (MPV), Avanza dan Veloz di pasaran negara terbabit.

Model terbaharu itu menggunakan platform baharu Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

Berikutan platform baharu tersebut, model itu kini menggunakan sistem pacuan roda hadapan berbanding model terdahulu pacuan roda belakang.

Avanza menawarkan empat varian iaitu 1.3 E M/T, 1.5 G M/T, 1.5 G CVT dan 1.5 G CVT TSS (Toyota Safety Sense) manakala Veloz menampilkan tiga varian MT, Q CVT serta Q CVT TSS.

Model terbaharu itu dijual pada harga bermula Rp206,2 juta (RM60,000).

MPV Avanza ditawarkan dengan lima warna pilihan iaitu perak (Purplish Silver dan Silver Mica Metallic), kelabu (Gray Metallic), hitam (Black Metallic) dan putih.

Veloz pula didatangkan dengan tiga warna pilihan hitam (Black Metallic), putih (Platinum White Pearl) dan perak (Silver Mica Metallic).

Rekaan MPV berkenaan mendapat sentuhan baharu dalam memberi aura lebih sporty dan moden.

Dari segi luaran, model Avanza hadir dengan rekaan bampar baharu dipadankan lampu utama LED, lampu belakang LED dan cermin automatik boleh laras.

Dalam pada itu, Veloz menampilkan bahagian hadapan lebih garang dilengkapi bampar besar, lampu gabungan belakang progresif dengan LED penuh pintu belakang, rim aloi 17 inci, cermin automatik boleh laras dipadankan lampu kaki Q Type.

Ruang dalaman pula, Avanza yang menempatkan tujuh tempat duduk didatangkan rekaan papan pemuka baharu, paparan infotainmen Dynamic Head Unit 9 inci dan 7 inci untuk keselesaan pemanduan.

Veloz yang lebih premium menampilkan tempat duduk gabungan fabrik dan kulit, kabin lebih luas dengan mod Long Sofa, sistem infotainmen 9 inci digabungkan sambungan telefon pintar terkini, panel instrumen digital TFT 7 inci dan tempat duduk belakang baharu.

Dua pilihan trenkuasa ditawarkan untuk model Avanza dengan model standard mendapat khidmat 1NR-VE 1.3 liter yang mampu menjana kuasa 98 PS dan ttork 122 Nm.

Varian lebih berkuasa pula didatangkan enjin 2NR-VE 1.5 liter dengan angka output 106 PS dan tork 137 Nm.

Model terbaharu itudilengkapi transmisi CVT bagi menggantikan kotak gear automatik, selain daripada transmisi manual lima kelajuan.

Veloz pula mendapat enjin 2NR-VE 1.5 liter yang mampu menjana kuasa 106 PS dan tork 137 Nm.

Aspek keselamatan merangkumi Kawalan Salah Tekan Pedal, Bantuan Keluar Lorong, Amaran Keluar Hadapan, Sistem Pra Pelanggaran, HSA, VSC, ABS, Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA) dan Pemantauan Titik Buta (BSM).

Avanza mula memasuki pasaran Indonesia pada 2003, sehingga kini model berkenaan terjual sebanyak 1,8 juta unit. – CNNIndonesia/CNBCIndonesia/ToyotaIndonesia

 

Google ads
Back to top button