
TOYOTA TRD DESERT CHASE TUNDRA, INI BARU PADU!
Di Amerika Syarikat kenderaan paling laris sejak bertahun-tahun ialah pikap saiz besar Ford F-150. Di antara saingannya pula ialah Chevrolet Silverado, RAM 1500 dan Toyota Tundra.
Masing-masing tampil dengan imej gah dan bagi meneruskan saingan Toyota baru sahaja memperkenalkan Tundra baharu dan generasi ketiga.
Untuk tampil lebih menarik Toyota menghasilkan sebuah model one-off untuk SEMA 2021 iaitu TRD Desert Chase Tundra.
Menjadikan projek ini dari sebuah konsep kepada realiti ialah Marty Schwerter dari Toyota Motorsports Garage yang sememangnya pakar dalam model lumba dan projek ubah suai sebegini.
Chase vehicle sebegini digunakan sebagai kenderaan sokongan kepada kereta lumba dan kru perlu mengejarnya setiap masa.
Dengan tugas tersebut, kenderaan yang mengejar mestilah berkeupayaan dengan pelbagai peralatan pembaikan.
Pikap TRD Desert Chase Tundra ini diubah suai dari varian yang sudah sedia bagus iaitu Tundra TRD Pro dan menariknya dikuasakan nadi hibird.
Enjin 3.5 liter V6 i-FORCE MAX turbo berkembar dipadan bersama sistem motor elektrik yang dipasang di antara enjin dan transmisi 10 kelajuan automatik.
Kuasa yang dihamburkan ialah 437 hp dengan tork 790 Nm! Puncak kuasa tork itu boleh dirasakan serendah 2,400 rpm.
Bagi mengharungi pelbagai bentuk muka mencabar, pikap ini menggunakan suspensi tinggi rekaan khas TRD dan dipasang pada sudut cagak asal Tundra.
Bahagian luar menggunakan kit badan lebar yang menyerlah direka dan dikeluarkan di pusat komposit TRD di Carolina Utara.
Bagi mengurangkan berat suspensi tak berpegas (unsprung weight), Chase Tundra dipasang roda ringan aluminium 18 inci dari Method Race Wheels.
Roda itu dipadan bersama tayar 37 inci General Tire Grabber X3 jenis semua permukaan (all-terrain).
Satu lagi komponen yang menyerlahkan TRD Desert Chase Tundra ialah sebaris lampu di depan dan di atas bumbung.
Palang lampu di atas boleh ditinggikan dan direndahkan ke paras bawah garisan bumbung untuk menghilangkan bunyi angin dan fungsi aerodinamik.
Pada bahagian belakang dipasang roll bar dan dimuatkan pelbagai kelengkapan seperti jack, botol C02 6.8 kg, botol air dan minyak, tayar ganti dan papan ARB Tred Pro Recovery Board.
Kesemua kelengkapan itu diikat pada bolt dan kedudukan asal bolt Tundra.
Warna luaran putih yang kemas dan bersahaja disiapkan oleh Complete Customs. Cantik tak pikap ini? Memang cantik!
Nampak ekstrem dengan segala kelengkapan dan saiznya yang besar tetapi masih kekal kemas!
BACA: TOYOTA GR SUPRA HERITAGE EDITION, LAWA KAN?
BACA: APA YANG ANDA NAK TAHU TENTANG TOYOTA ALTEZZA?
BACA: TOYOTA COPEN GR SPORT, MISI MENGIDAM BERMULA!!!