Buletin

TOYOTA SUPRA HABIS TERJUAL DALAM MASA 22 MINIT DI AUSTRALIA!

Selepas bertahun membina penjenamaan untuk Supra baharu Toyota sekarang sedang menuai hasil.

Tidak sukar nampaknya Supra baharu diterima peminat apabila kesemua unit yang dikhaskan untuk pasaran Australia habis di dalam masa 22 minit sahaja.

Tempahan Supra perlu dibuat di dalam talian dan sebaik sahaja dibuka kesemua 100 unit telah ditempah dalam masa tujuh minit.

Toyota Australia sebelum itu telah menerima lagi tambahan 50 unit dan kesemua 150 unit habis di dalam masa 22 minit selepas tawaran pertama dibuka.

Tempahan dibuat melalui 63 pengedar di serata Australia termasuk di cawangan kawasan luar bandar.

Majoriti tempahan iaitu sebanyak 80 peratus adalah untuk model gred tinggi Supra GTS.

Warna popular ialah Nurburg Matte Grey, Goodwood Grey, Monza Red dan Fuji White. Menarik apabila warna Nurburg Matte Grey yang terhad sudah habis ditempah untuk tahun ini.

Tempahan pertama yang diterima adalah Supra GT berwarna Monza Red daripada Melbourne.

Selepas tempahan berjaya diterima, pelanggan akan menerima panggilan daripada talian khas Supra dalam masa beberapa minggu bagi mengesahkan pilihan dan pesanan mereka termasuk deposit tambahan sebanyak AUS4,000.

Spesifikasi tawaran Supra untuk pasaran Australia tidak sama dengan pasaran Jepun.

Pelanggan di Australia hanya ditawarkan dengan enjin tunggal 3.0L enam silinder sebaris sahaja berbanding Jepun yang ditawarkan dua jenis enjin iaitu 2.0L dan 3.0L.

Kuasa Toyota GR Supra 3.0L ialah 335hp dengan daya kilas 500Nm dengan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.4 saat sahaja.

GR Supra menggunakan pacuan roda belakang dengan transmisi lapan kelajuan automatik.

Untuk yang terlepas Toyota Australia akan membuka satu lagi tawaran iaitu pada 17 Julai 12 tengah hari dengan jumlah agihan yang akan disahkan kelak.

Buat peminat di negara kita pula, UMW Toyota Motor sudah mengesahkan Supra akan ditawarkan pada tahun ini.

Sebagai rujukan pengguna di Australia ditawarkan dengan dua varian GR Supra GT pada harga AUD84,900 (RM243,965) dan GR Supra GTS pada harga AUD94,900 (RM272,701).

*1 AUD = RM 2.87

Google ads
Back to top button