Buletin

DUCATI MALAYSIA LANCAR 9 MODEL BAHARU 2019

Next Bike Sdn Bhd, pengedar rasmi untuk Ducati di Malaysia malam semalam melancarkan barisan model 2019 di acara Ducati Malaysia Première 2019 di Naza Automall PJ.

Sebanyak sembilan buah model terkini dilancarkan. Terdiri daripada Panigale V4 R, Diavel 1260 S, Hypermotard 950, Multistrada 950 S, Multistrada 1260 Enduro dan Scrambler; Scrambler Icon, Full Throttle, Scrambler Desert Sled dan Scrambler Café Racer.

Model tersebut mula diperkenalkan di Ducati World Premiere 2019 di Milan. Ia kemudian dipertontonkan pada acara pameran Motosikal dan Aksesori Antarabangsa yang berprestij (EICMA 2018).

DUCATI PANIGALE V4 R (RM299,900)

Dalam versi terbaru ini, enjin Desmosedici Stradale 1103 cm3 telah digantikan dengan enjin 998 cm3 Desmosedici Stradale R untuk mematuhi had yang ditetapkan oleh Kejohanan Superbike Dunia (WSBK),

Malah, Ducati Panigale V4 R ialah motosikal produksi paling berkuasa yang pernah dibina oleh Ducati setakat ini.

DUCATI DIAVEL 1260 S (RM139,900)

Satu lagi model mengagumkan yang menyertai barisan 2019 ialah Ducati Diavel 1260 S. Jentera itu pernah diperkenalkan secara eksklusif kepada Desmo Riders Club Malaysia (DOCM) dalam satu acara prebiu pada Mei 2019 lalu.

Dibina dengan asas enjin Testastretta DVT 1262, model ini mampu menghasilkan 159 hp pada 9,500 rpm dan 129 Nm dengan pecutan lancar pada putaran enjin rendah, ideal untuk tunggangan harian.

Reka bentuknya yang canggih dan inovatif juga memenangi gelaran “Red Dot Award 2019: Best of the Best”.

Diavel 1260 S dilengkapi suspensi Öhlins sepenuhnya pada roda depan dan belakang, selain sistem brek yang lebih baik. Ia juga dipasang dengan Ducati Quick Shift (DQS) bagi membolehkan penukaran gear dilakukan dengan pantas dan lancar.

DUCATI HYPERMOTARD 950 (RM75,900)

Hypermotard baru dibina khusus untuk penunggang yang gemarkan tunggangan mencabar. Ia dilengkapi bar hendal lebih lebar, tetapi casisnya kini lebih ringan 4kg berbanding sebelumnya.

Ia dikuasakan oleh enjin Testastretta 11˚ 937 cm3 yang telah diperbaharui dengan lebih daya tarikan. Di samping pelbagai sistem elektronik baharu untuk memastikan kawalan yang lancar.

Ia mampu menghasilkan 114 hp pada 9,000 rpm dan tork pada 9.8 kgm pada 7.250 rpm.

DUCATI MULTISRADA 1260 ENDURO (RM138,900)

Multistrada 1260 Enduro baru meluaskan lagi konsep pengembaraan dengan enjin Ducati Testastretta DVT yang baru. Sistem Desmodromic Variable Timing (DVT) itu berfungsi mengoptimumkan lagi prestasinya.

Mencapai tork pada 4,000rpm, Multistrada 1260 Enduro ialah motosikal yang memiliki kuasa tork paling tinggi dalam kategorinya. Ia turut datang dengan Ducati Quick Shift Up & Down (DQS) yang membolehkan penunggang menukar gear tanpa menggunakan klac untuk keseronokan tanpa batasan.

Untuk ketenangan fikiran, Multistrada 1260 Enduro dilengkapi ciri keselamatan teknologi Ducati termaju seperti ABS Bosch Cornering yang memaksimumkan keselamatan aktif.

Ia juga dipadankan dengan Kawalan Cengkaman Ducati, Ride by Wire, Ducati Wheelie Control dan Ducati Skyhook Suspensi semi-aktif (DSS).

DUCATI MULTISTRADA 950 S (RM95,900)

Buat pertama kalinya, Multistrada 950 kini boleh didapati dalam versi S yang menawarkan teknologi terkini, prestasi dan keselesaan.

Motosikal kembara lebih kecil itu kini dilengkapi Ducati Skyhook Suspension (DSS) yang sentiasa menyesuaikan keadaan sistem gantungan berdasarkan kepada perubahan pada jalan raya.

Ducati Quick Shift (DQS) juga dipadankan bersama. Model ini hadir dengan lampu LED penuh, paparan TFT 5″ berwarna, Sistem Bebas Tangan, Kawalan Cruise, kawalan lampu sisi belakang dan antara muka (HMI) yang lebih mesra pengguna berbanding sebelum ini.

RANGKAIAN DUCATI SCRAMBLER (BERMULA RM52,900)

Kali ini Scrambler didatangkan dengan empat varian tambahan iaitu Scrambler Icon (RM52,900), Scrambler Full Throttle (RM62,900), Scrambler Desert Sled (RM67,900) dan Scrambler Café Racer (RM67,900).

Rangkaian model tahun ini melibatkan beberapa peningkatan termasuklah lampu hadapan baru dengan DRL LED .

Untuk ketenangan fikiran, Scrambler 2019 dilengkapi ciri keselamatan ABS Baru Bosch Cornering. Eksklusif untuk kategori motosikal ini, sistem tersebut memaksimumkan keselamatan aktif semasa membrek.

Bagi memberikan keselesaan tambahan, pelana Scrambler telah direka semula.

Google ads
Back to top button