TRAK AIS KRIM TESLA CYBERTRUCK JADI MANGSA VANDALISME – CERMIN PECAH, KOS PEMBAIKAN RM46K
Sebuah Tesla Cybertruck yang digunakan sebagai trak ais krim, baru-baru ini telah menjadi sasaran serangan vandalisme secara rawak di Bellbrook, Ohio.
Pemilik Cybertruck, Herres, mengatakan insiden ini membuatkan dia terpaksa menghentikan operasi perniagaan kecilnya sepanjang musim panas.
Menurut Herres, insiden aneh ini berlaku ketika dia berada di dalam rumahnya dan mendengar bunyi kuat dari kawasan tempat letak kereta.
Herres segera memeriksa rakaman kamera video Ring dan mendapati seorang wanita keluar dari keretanya sebelum dengan sengaja memecahkan tingkap Cybertruck tersebut.
Lebih menyedihkan, dua kanak-kanak kelihatan menangis di dalam kereta wanita tersebut. Herres, yang terkejut dengan kejadian itu, mengesahkan bahawa dia tidak mengenali wanita tersebut.
Menurut laporan WHIO, beberapa minit selepas serangan terhadap Cybertruck itu, pihak polis Sugarcreek Township telah menahan seorang wanita dari Indiana berusia 29 tahun.
Amukannya tidak hanya terhad kepada trak ais krim, tetapi juga melibatkan gangguan di rumah jiran berdekatan, termasuk menakutkan pemilik rumah tersebut.
Polis telah mengeluarkan saman kepada wanita tersebut atas tuduhan “kerosakan jenayah ringan” serta mendakwa suspek dan kenderaannya terlibat dalam “beberapa aduan lalu lintas di bandar dan kawasan perbandaran”.
Walaupun mengalami kerugian kewangan yang besar, Herres memilih untuk tidak mengambil tindakan undang-undang.
Dalam satu kenyataan penuh belas kasihan, dia menyatakan keprihatinan terhadap kanak-kanak yang terlibat, “Saya sangat bersimpati dengan kanak-kanak tersebut, dan kami berharap yang terbaik untuk semua orang.”
Kos untuk menggantikan tingkap Cybertruck yang pecah adalah AS$10,000 (RM46,759). Lebih menyedihkan, jadual pembaikan Tesla bermakna Herres tidak dapat menjalankan perniagaannya sehingga sekurang-kurangnya September, menyebabkan perniagaan ais krimnya terhenti sepanjang musim panas.
Menurut laporan, perniagaan kecil yang dikenali sebagai Cyber Cream Dayton itu bermula pada Mei lalu.
Selepas insiden vandalisme tersebut, pemiliknya terpaksa membatalkan semua tempahan dan mengembalikan wang kepada pelanggan.
Herres dan isterinya mengeluarkan kenyataan berikut di halaman Facebook mereka, sambil memuat naik gambar tingkap yang dipecahkan:
“Dengan kesedihan yang amat sangat, kami berkongsi bahawa trak ais krim kami telah mengalami kerosakan besar akibat tindakan vandalisme,” luahnya.
“Tindakan ganas yang berlaku pada waktu siang di rumah kami di Bellbrook telah memecahkan setiap tingkap, menjadikannya tidak selamat untuk beroperasi.
“Malangnya, Tesla tidak dapat menggantikan tingkap kami sehingga September. Kami sangat kecewa dan menyesal kerana terpaksa menghentikan sementara perniagaan kami… Kami benar-benar minta maaf.”
- BACA: GEELY RANCANG MALAYSIA JADI PASARAN KERETA BERASASKAN BAHAN BAKAR METANOL
- BACA: KENDERAAN ELEKTRIK: PENGELUAR KERETA JEPUN CUAK DENGAN PERKEMBANGAN CHINA
- BACA: BYD M6 DILANCARKAN DI INDONESIA – TIGA VARIAN, JARAK GERAK 530KM, HARGA RM109K
- BACA: HONDA SERAH CIVIC KE-170,000 DAN HR-V KE-150,000 – CATAT HASIL JUALAN 39,200 UNIT PADA SEPARUH PERTAMA 2024