Buletin

YOUTUBER MENYESAL BELI TESLA CYBERTRUCK, PENAJA TAK BERMINAT – “KAMI TAK NAK DIKAITKAN DENGAN IDEOLOGI PERIBADI ELON MUSK”

Tesla Cybertruck telah menjadi salah satu kenderaan yang paling kontroversi di jalan raya hari ini. YouTuber terkenal, JerryRigEverything atau nama sebenarnya Zack Nelson, turut tertarik untuk memilikinya, tetapi dengan tujuan untuk mempromosikan perniagaan kerusi roda beliau.

Namun, pengalaman beliau bersama kenderaan ini ternyata lebih mencabar daripada yang disangka.

Nelson membeli Tesla Cybertruck sekitar lapan bulan lalu dan telah menempuh lebih 13,000 batu dengan kenderaan elektrik ini.

Cybertruck tersebut digunakan sebagai trak kerja untuk mengangkut pelbagai muatan sambil mempromosikan jenamanya. Malangnya, kenderaan tersebut menghadapi beberapa masalah, termasuk isu mekanikal serta penerimaan umum yang agak negatif.

Masalah pertama yang dialami Nelson ialah skru pada engsel pintu pemandu yang sering longgar, hingga memerlukan penyelenggaraan berkala di rumah.

Selain itu, trim pada bahagian A-pillar juga terjulur keluar ketika memandu, yang agak mengecewakan memandangkan Tesla pada awalnya mempromosikan badan kenderaan ini sebagai “exoskeleton” yang kukuh.

Pada hakikatnya, Cybertruck hanya menggunakan struktur unibody konvensional.

Lebih mengecewakan lagi, Nelson terpaksa berhenti menggunakan Cybertruck untuk menarik beban setelah menonton video oleh YouTuber lain, WhistlinDiesel, yang menunjukkan cangkuk tarik kenderaan tersebut patah semasa diuji.

Bukan itu sahaja, reka bentuk lampu hadapan Cybertruck juga menyukarkan pemanduan musim sejuk kerana posisinya yang rendah, salji mudah terkumpul di hadapan lampu, menghalang pencahayaan dan memerlukan pemandu untuk kerap membersihkannya.

Pita lampu LED di bahagian atas juga mengalami masalah serupa, yang mengurangkan penglihatan ketika memandu di malam hari.

Tetapi masalah terbesar datang daripada reaksi penaja. Penaja yang pada awalnya bersetuju untuk menaja video Nelson membatalkan sokongan mereka selepas mengetahui ia melibatkan Cybertruck.

“Kami tidak mahu dikaitkan dengan kandungan Cybertruck buat masa ini,” ujar penaja tersebut selepas Nelson memberikan pratonton video.

Sebahagian besar keengganan penaja mungkin disebabkan oleh pengaruh CEO Tesla, Elon Musk, yang sering mengeluarkan kenyataan politik dan menimbulkan kontroversi.

Cybertruck kini sering dikaitkan dengan ideologi peribadi Musk, yang tidak semua orang setuju, terutama di kala beliau aktif dalam isu-isu politik hangat diperdebatkan di Amerika Syarikat.

Nelson sendiri mengakui bahawa faktor ini perlu dipertimbangkan, terutama apabila perniagaan beliau turut terpampang pada kenderaan tersebut, memberi tanggapan bahawa beliau menyokong pandangan-pandangan kontroversi tersebut, yang sebenarnya tidak.

Beliau kini sedang mempertimbangkan pilihan lain seperti Rivian atau Chevy Silverado EV, menunjukkan bahawa semangat awalnya terhadap Cybertruck sudah mulai pudar.

“Saya tidak pernah terlalu terikat secara emosi dengan Cybertruck sejak awal lagi,” katanya, memberi bayangan bahawa hubungan beliau dengan kenderaan ini mungkin berakhir dalam masa terdekat.

Google ads
Back to top button