
HONDA SERAH CIVIC KE-170,000 DAN HR-V KE-150,000 – CATAT HASIL JUALAN 39,200 UNIT PADA SEPARUH PERTAMA 2024
Honda Malaysia mencapai satu lagi pencapaian bersejarah dengan penyerahan Civic ke-170,000 dan HR-V ke-150,000 di Malaysia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Hironobu Yoshimura berkata, “Kami ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pelanggan atas sokongan dan kepercayaan mereka terhadap jenama Honda.
“Model-model Honda terus mendapat populariti dan permintaan yang semakin meningkat berkat sokongan pelanggan kami.”
Kini dalam Generasi ke-11, Civic adalah model ikonik Honda dan telah mengekalkan kedudukan sebagai peneraju Segmen C Bukan Nasional selama lapan tahun berturut-turut sejak 2016.


Sementara itu, HR-V telah memenangi hati ramai rakyat Malaysia sejak diperkenalkan sembilan tahun lalu dan menetapkan penanda aras tinggi dalam Segmen SUV Kompak.
Civic ke-170,000 adalah 2.0L e:HEV RS, manakala HR-V ke-150,000 adalah 1.5L e:HEV RS. Kedua-dua model diserahkan kepada pemilik masing-masing, Encik Lim Chin Hui dan Cik Asha Waheda, semasa majlis penyerahan.
Sebagai tanda penghargaan, kedua-dua pemilik menerima hadiah eksklusif dan Aksesori Tulen Honda bernilai RM10,000.
Pada separuh pertama tahun 2024, Honda Malaysia mencatatkan jualan lebih daripada 39,200 unit, meningkat 16 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.
HR-V adalah penyumbang terbesar dengan 28 peratus sumbangan kepada jumlah jualan Honda Malaysia.
Model kedua terlaris adalah City dengan 24 peratus daripada jumlah jualan, diikuti CR-V dengan 15 peratus sumbangan.
Sementara, varian e:HEV pula menyumbang 13 peratus kepada jualan Honda Malaysia dalam separuh pertama tahun 2024, menandakan pertumbuhan ketara bagi model hibrid Honda.







