BMW M5 G90 DENGAN KIT M PERFORMANCE, SEGAK BERGAYA APATAH LAGI WARNA KUNING
BMW M5 G90 baru-baru ini tampil membawa sensasi sebagai sedan berprestasi hibrid plug-in dengan enjin 4.4 liter V8 dan perkakasan elektrik atau dipanggil dipanggil M Hybrid.
Satu lagi sensasi ialah warna Speed Yellow yang sangat meminta atau menarik perhatian. BMW dengan warna kuning bukan satu yang asing cuma apabila dilayangkan pada M5 G90 dilihat begitu menyerlah.
Tentang prestasi, sistem M Hybrid menghasilkan 727 kuasa kuda (hp) dan daya kilas 1,000Nm. Enjin V8 dipadan bersama kotak gear Steptronic lapan kelajuan dan pacuan semua roda M xDrive.
Daya pecutan 0 sehingga 200 kilometer sejam (km/j) di bawah 11 saat. 0 sehingga 100 km/j? 3.5 saat.
Menyerlahkan lagi M5 warna kuning ialah kit BMW M Performance Parts. Aksesori yang ditawarkan bukan sahaja untuk gaya tetapi juga ringan dan menyumbang kepada prestasi aerodinamik.
Bahagian depan yang sedia agresif menonjol dengan pemisah gentian karbon yang bersegi. Jeriji buah pinggang BMW M usah cerita kerana walaupun mendominasi sudah sebati pada BMW sekarang.
Skirt sisi karbon pula seperti biasa tidak berlebihan dan tetap agresif dengan rekaan tajam ke atas. Pengguna juga ditawarkan perumah cermin sisi M gentian karbon.
Peresap belakang gentian karbon dua bahagian tampil robotik dan spoiler melentik di atas but. Ada dua jenis spoiler iaitu memanjang satu bahagian atau tiga bahagian
Muncung ekzos M Performance dibuat daripada titanium dan gentian karbon. Bahagian belakang kereta nampak garang dan seperti sedia untuk berentap di litar.
Kesemua perkakasan gentian karbon yang dipasang pada kereta dibuat dengan tangan dan menggunakan plastik bertetulang gentian karbon (CFRP) dan lapisan kilatan bermutu tinggi.
Kit M Performance turut merangkumi grafik sisi dalam warna Frozen Black dan sepadan dengan garisan badan selain tahan cucian komersial.
Perumah aerial juga dibuat dari bahan komposit gentian dan meriasi bumbung M5. Lagi perkakasan kecil seperti penutup tangki gentian karbon dan sarung kunci M Performance.
Kaki pemandu dan penumpang dilapik kepingan karpet M Performance.
Untuk menyimpan tayar di rumah atau dibawa ke litar, pelanggan boleh memesan beg khas dengan cetakan logo warna BMW M GmbH. Setiap beg mempunyai tanda bahagian tayar yang disimpan.