Buletin

TRIUMPH MAHU LANCAR 29 MODEL DALAM 6 BULAN!

Triumph Motorcycles mengumumkan perancangan pelancaran luar biasa iaitu 29 model baharu dan yang dikemas kini dalam tempoh enam bulan akan datang.

Pelancaran berskala besar ini kemuncak kepada pelaburan selama bertahun-tahun dalam pembangunan produk, sekali gus menunjukkan keyakinan penuh syarikat dalam menghadapi pasaran motosikal global yang tidak menentu.

Keyakinan ini disokong oleh kejayaan Triumph mencatat rekod jualan global selama lima tahun berturut-turut, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar motosikal terbesar di UK.

Dalam tahun kewangan dari Julai 2024 hingga Jun 2025, Triumph berjaya menghantar lebih 141,683 unit motosikal di seluruh dunia.

Angka ini luar biasa, mewakili pertumbuhan jualan sebanyak 136% sejak tahun 2019 dan dicapai melalui operasi rangkaian 950 pengedar yang meluas di 68 buah negara.

Komitmen berterusan Triumph terhadap inovasi dan kualiti kekal teguh, dengan pelaburan tertinggi dalam pembangunan produk baharu dan memperkukuh misi untuk menawarkan motosikal yang menarik dan berkualiti tertinggi kepada pelanggan global.

Jadual Pengenalan dan Pelancaran Model

  • Acara Pelancaran Utama: Siri acara pengenalan global akan bermula pada 21 Oktober dengan kempen pertama, True Originals Never Settle. Pengumuman seterusnya dijadualkan pada 28 Oktober untuk memperkenalkan model baharu bertema Made to Upstage.

  • Model Akan Datang: Daripada 29 model yang bakal diperkenalkan:

    • Tujuh (7) model telah diumumkan, termasuk rangkaian motosikal elektrik TXP baharu, TF 450-X baharu dan dua model cross-country.

    • Baki 22 model merangkumi gabungan varian baharu daripada barisan sedia ada dan model-model baharu sepenuhnya.

Strategi Perkhidmatan Pelanggan dan Perkembangan Pasaran

Triumph turut memperkenalkan strategi perkhidmatan pelanggan yang inovatif, bermula dengan teknologi Reserve My Triumph di UK.

Sistem ini membolehkan pelanggan mengkonfigurasi dan menempah model baharu secara dalam talian sebaik sahaja diperkenalkan.

Perkhidmatan tempahan motosikal baharu ini akan diperluaskan secara berperingkat ke Eropah dan pasaran utama lain bermula dari Musim Bunga 2026 (Mac – Mei).

Sementara itu, bagi memberi peluang kepada pelanggan melihat secara langsung produk baharu, pengedar Triumph di seluruh dunia akan menganjurkan siri acara pratonton sehingga Musim Bunga 2026.

Selain itu, Triumph terus mengembangkan penguasaan pasarannya ke pelbagai segmen baharu.

Dari segi lokasi pasaran, rangkaian pengedar di China, Brazil dan India telah menunjukkan prestasi yang sangat kukuh dan menyumbang kepada momentum pertumbuhan syarikat.

Untuk produk, rangkaian motosikal bawah 500cc yang merangkumi Speed 400, Scrambler 400 X dan Scrambler 400 XC menjadi pemacu utama dalam mempercepatkan pertumbuhan Triumph di seluruh Asia.

Triumph turut mencatatkan kejayaan besar dalam tahun pertama perlumbaan off-road.

Diwakili model seperti TF 250-X, TF 450-RC, TF 250-E, dan TF 450-E, Triumph meraih kemenangan dan penamat podium dalam siri antarabangsa (FIM MXGP, EnduroGP) dan gelaran kebangsaan (termasuk ACU British MX2 Motocross Championship).

Triumph juga melangkah ke segmen kenderaan elektrik dengan rangkaian motosikal elektrik remaja Triumph TXP, yang dikuasakan oleh OSET.

Kejayaan ini ditambah dengan prestasi cemerlang model sedia ada seperti Tiger Sport 800 yang melebihi jangkaan, serta Speed Triple RS dan RX yang menyumbang kepada peningkatan jualan yang ketara.

Google ads
Back to top button