
TRIUMPH NAIK TARAF TRIDENT 660 – 94HP, 68NM
Triumph Motorcycles menyuntik naik taraf signifikan pada model popular Trident 660 bagi tahun 2026 yang menyaksikan model itu kini lebih berkuasa.
Enjin tiga silinder 660cc itu kini menjana 94hp pada 11,250rpm dan 68Nm pada 8,250rpm. Ini adalah kenaikan mendadak berbanding 81hp dan 64Nm yang ditawarkan model sebelumnya.
Menurut Triumph, 80 perartus dari tork dihasilkan itu tersedia seawal 3,000rpm hingga 12,000rpm.

Peningkatan kuasa itu tercapai dengan melaksanakan perubahan besar pada ruangan enjin termasuk beralih dari single throttle body kepada tiga throttle body berukuran 44mm, satu bagi setiap silinder.
Selain itu, Triumph turut memperbesarkan kotak udara (airbox) bagi meningkatkan aliran udara sekaligus menyumbang kepada bunyi yang lebih ketara. Bahagian cylinder head turut direka semula dengan valve ekzos yang lebih besar dan profil cam yang lebih tinggi bagi meningkatkan tahap pembakaran dan aliran kuasa.
Bagi mengimbangkan prestasi enjin, Triumph turut menaik taraf sistem penyejukan enjin kepada radiator yang lebih besar.

Melengkapkan pakej terbaru ini adalah talaan enjin yang baharu termasuk meningkatkan tork dan redline selain mengoptimumkan prestasi enjin pada rpm rendah. Terakhir, Triumph turut menaik taraf kotak gear dan menala semula sistem Triumph Shift Assist (quickshifter) agar pertukaran gear lebih pantas dan lancar.
Dalam pada itu, rekaan keseluruhan Trident 660 2026 ini juga lebih muscular dengan reka bentuk tangki yang lebih lebar.

Casis pula membariskan fork USD 41mm dari Showa dengan pelarasan pra-beban dan rebound sementara belalang pula menempatkan penyerap hentak RSU dengan jarak gerak 130mm. Pakej brek terdiri dari brek Nissin dua piston di depan dengan cakera 310mm.
Model 2026 ini juga tampil dengan pakej elektronik serba lengkap antaranya:
- ride-by-wire
- 3 mod (Sport, Rain dan Road)
- ABS
- traction control
- 6-axis IMU (cornering ABS, cornering traction control)
- paparan TFT dengan skrin LCD








