Buletin

TOYOTA PASANG ENJIN TURBO DAN SET HIDROGEN DI DALAM COROLLA CROSS H2 CONCEPT!

Nampaknya Toyota begitu bersungguh di dalam agenda kenderaan hidrogen dengan yang terbaru memperkenalkan Corolla Cross H2 Concept.

Keistimewaan kenderaan utiliti sukan (SUV) ini terletak pada enjin G16E-GTS 1.6 liter turbo tiga silinder dari GR Corolla dan teknologi pancitan bahan api terus hidrogen tekanan tinggi dari sukan permotoran dan set tangki hidrogen dari Toyota Mirai iaitu kenderaan janaan sel bahan api hidrogen (FCV).

Hasilnya adalah sebuah prototaip Corolla Cross H2 hidrogen yang menggabungkan enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan teknologi hidrogen dan boleh membawa lima penumpang termasuk barangan mereka.

Program pengujian dunia sebenar sedang dijalankan dan tidak lama lagi memasuki fasa ujian musim sejuk di utara Jepun.

Apa yang bagus tentang tentang teknologi sebegini? Satu daripada kelebihan pembakaran hidrogen ialah keupayaan untuk memanfaatkan teknologi enjin pembakaran dalaman sedia ada dan masa pengisian lebih pantas.

Satu lagi kelebihan terletak pada pengurangan dan keperluan sumber yang terhad seperti litium dan nikel.

Ini lah kelebihan Toyota, mereka meneroka pelbagai kaedah dan teknologi di dalam bidang elektrifikasi sama ada kenderaan elektrik bateri (BEV), hibrid dan hibrid plug-in.

Tanpa Corolla Cross H2 Concept ini pun, Toyota sudah pun mengeluarkan FCV Mirai sejak 2014 dan kini memasuki generasi kedua. Cumanya, Mirai adalah kereta janaan hidrogen dan oksigen tanpa enjin seperti model prototaip ini.

Berkenaan teknologi pembakaran kebuk hidrogen, Toyota melalui pasukan Rookie Racing telah menyertai kesemua siri perlumbaan Super Taikyu pada tahun ini menggunakan GR Corolla H2.

Satu yang menarik apabila jentera yang menggunakan pembakaran hidrogen itu dipandu sendiri oleh Presiden Toyota, Akio Toyoda bagi menilai dan menyumbang kepada program pembangunannya.

Selain itu, kenderaan enjin-hidrogen Toyota iaitu sebuah GR Yaris H2 dipandu buat kali pertama di jalan raya awam Eropah di dalam sesi demonstrasi semasa pusingan Kejuaraan Rali Dunia (WRC), di Ypres, Belgium pada Ogos lalu.

Siri aktiviti permotoran itu telah membantu mempercepatkan program pembangunan dan kemajuan teknikal.

Sebagai contoh di dalam satu musim Super Taikyu, Toyota telah berjaya meningkatkan kuasa pembakaran hidrogen kepada 24 peratus dan daya kilas sehingga 33 peratus dengan hasil yang setara enjin petrol konvensional.

Jarak pemanduan pula dapat ditingkatkan kepada sekitar 30 peratus manakala masa pengisian semula dikurangkan dari kira-kira lima minit kepada satu setengah minit.

Toyota belum mendedahkan butiran lanjut tentang prototaip Corolla Cross H2 Concept dan adakah satu hari nanti kita akan melihat sebuah kereta massa dengan gabungan teknologi enjin konvensional dan hidrogen?

Suatu yang menarik!

BACA: TOYOTA PERTONTON C-HR BAHARU MELALUI C-HR PROLOGUE CONCEPT!

BACA: TOYOTA VELOZ, BERBALOI KE TAMBAH RM 20,000 DARIPADA PERODUA ALZA AV?

BACA: LIMA CIRI TOYOTA SIENTA 2022, DARI RM62K DI JEPUN!

Google ads
Back to top button