,
Artikel PilihanBuletin

INI UCAPAN AKIO TOYODA – PRESIDEN TOYOTA YANG MENGGETARKAN JIWA

Jika diperhatikan sekarang ini, cara Toyota melakukan bisnes dengan pelanggan sudah berbeza. Contoh paling jelas ialah rangkaian produk yang tampil dengan reka bentuk lebih agresif, penglibatan semula dalam Kejuaraan Rali Sedunia (WRC) dan pelaburan besar dalam program Toyota Gazoo Racing.

Program pelumbaan jalanan Toyota Gazoo Racing yang dianjurkan baru-baru ini di Pulau Pinang dengan tiga lagi baki perlumbaan di serata semenanjung adalah suatu yang mengejutkan dari Toyota sebenarnya.

Walaupun penglibatan Toyota dalam sukan permotoran gah di beberapa pasaran utama dunia seperti Amerika Utara, Eropah dan Jepun, di sini lain pula ceritanya.

Aktiviti paling hampir kita dengar ialah menjual, menjual, menjual. Untung, untung dan untung. Mudah kan model bisnes begini?

Tetapi ia sudah beransur berubah. 

Walaupun ada model baharu yang bila dipandu terasa seperti lebih baik ditinggalkan di tepi jalan tetapi usaha Toyota dalam membina kenderaan yang lebih berjiwa seperti GT86 harus diakui.

Perubahan ini datangnya daripada kepimpinan teratas turun ke bawah. Ia datang dari Presiden Toyota Motor Corporation sendiri iaitu Akio Toyoda.

Dan beliau benar-benar menghayati prinsip kepenggunaan Jepun yang kukuh dipegang oleh tokoh-tokoh automotif sebelumnya. Hasilkan produk yang benar-benar dekat di hati pengguna dan untuk itu, seseorang mestilah turun ke padang.

Bukan semata-mata bergantung kepada dapatan yang dipersembahkan konsultan sahaja. 

Apa yang dipegang oleh Presiden Akio Toyoda sangat kuat dan ia boleh dibaca melalui ucapan ini:

1.Sejak saya menjadi Presiden, saya telah memberi tahu kepada semua orang di Toyota “Mari kita bina kereta yang lebih baik!

2. Apa yang mendorong saya dalam hal ini ialah mendiang Hiromu Naruse, pemandu uji utama Toyota dan instruktor pemanduan saya (beliau meninggal akibat kemalangan sewaktu menguji Lexus LFA di Nürburgring). Hiromu sentiasa mengajar saya tentang ‘Jalan, membentuk kereta’ (roads make cars) dan dalam usaha saya bagi merealisasikan perkataan tersebut.

3. Selepas memikirkannya, saya sebagai bukan jurutera, boleh mengaplikasikan prinsip tersebut bagi membina produk Toyota sebagai kereta yang lebih baik.

4. Saya membuat kesimpulan satu-satunya cara untuk mencapai cita-cita tersebut ialah dengan turun ke lapangan, mengambil input dan merasai sendiri pelbagai jalan dan persekitaran.

5. Oleh itu, saya dapat merasa bagaimana jurutera bercakap dalam bahasa mereka supaya kami boleh berbincang dan membuat keputusan sehinggalah kepada tahap terakhir pembangunan. Ini adalah cara saya agar Toyota dapat membina kereta lebih baik.

6. Dengan pemikiran ini, saya bersama dengan staf Toyota turut terlibat sama dalam Perlumbaan Endurans 24 Jam Nürburgring. 

7. Dalam persediaan perlumbaan, pemandu kami, mekanik dan jurutera telah duduk dan bekerjasama bagi menyediakan kereta lumba yang digunakan, memberi perhatian terhadap kebarangkalian sesuatu isu atau yang dirasai oleh pemandu sewaktu ujian.

8. Pasukan kami telah bekerja sehingga masa terakhir bagi memastikan pemandu mempunyai kenderaan sebaik mungkin selain pemanduan pengalaman agar mereka dapat memandu dengan kelajuan penuh dengan segala kekuatan dan dengan keyakinan.

9. Ia tidak terhad semasa peringkat pembangunan sahaja tetapi juga semasa berlakunya masalah dalam perlumbaan. Apabila timbul suatu isu, pasukan kami perlu menghasilkan satu keputusan dalam masa singat dan memperbaikinya dengan apa sahaja peralatan yang ada agar pemandu dapat meneruskan perlumbaan dengan selamat dalam perlumbaan merbahaya ini.

10. Saya sendiri menyaksikan ahli pasukan kami belajar dan berkembang melalui ulangan proses ini dalam perlumbaan-perlumbaan yang disertai.

11. Frasa ‘Jalan, membentuk kereta boleh dilaraskan kepada ‘Jalan membina manusia dan manusia, membina kereta’ (‘roads build people, and people build cars.’). Walau bagaimanapun, tidak ramai pekerja kami yang dapat merasai pengalaman seperti perlumbaan Nürburgring.

BACA: TOYOTA RANCANG BINA RANGKAIAN KERETA SPORT, INGIN KEMBALIKAN NOSTALGIA 90-AN

BACA: TOYOTA PATENKAN TIANG-A YANG BOLEH TEMBUS PANDANG

12. Oleh itu, bagi memberi peluang kepada lebih ramai pekerja memahami falsafah ‘Jalan, membentuk kereta’ kami memulakan Projek Pemanduan Lima Benua.

13. Kereta lumba yang sempurna hanya boleh benar-benar mencabar jika ia dipandu hingga ke hadnya. Prinsip yang sama turut terpakai kepada kenderaan yang kami berikan kepada pelanggan.

14. Pendekatan genchi genbutsu (pergi sehingga kepada sumber untuk mendapatkan fakta) supaya kereta dipandu di jalan sama seperti pelanggan dan pendedahan kereta kepada cuaca dan budaya serantau telah berkesan dalam menajamkan deria kami.

15. Dengan mendapatkan pengalaman sebenar daripada pelbagai pemanduan pelanggan, kami dapat merasai perspektif mereka yang menggunakannya di jalan setempat dan juga semasa semasa memandu di litar ujian.

16. Saya percaya pendekatan kami ini dapat membantu dengan jelas untuk membina kereta lebih. Kami tidak boleh hanya bergantung semata-mata kepada sesi litar ujian.

17. Melalui input yang diberikan ahli pasukan kami selepas mereka pulang dari Australia, Amerika Utara dan Amerika Latin, mereka bercakap benda sama (tidak boleh hanya bergantung semata-mata kepada sesi litar ujian) dan saya yakin mereka akan kembali dengan semangat lebih tinggi sebagai profesional untuk membina kereta lebih baik.

18. Dengan meluangkan masa jauh dari Jepun untuk tinggal bersama dengan masyarakat berlainan budaya dan memandu dalam hari-hari mencabar dengan persekitaran yang teruk telah membolehkan mereka berkembang sebagai manusia. 

19. Hasilnya, saya yakin mereka benar-benar menjadi pekerja yang boleh bergantung harap.

20. Tahun ini, kami akan menghantar 130 ahli pasukan untuk mengambil cabaran dalam Projek Pemanduan Lima Benua di Eropah.

21. Eropah adalah tempat lahirnya automotif dan lokasi di mana pelbagai pengeluar senpai (mentor) kami telah lama membina kekuatan mereka dalam pembuatan kereta.

22. Saya mempunyai harapan tinggi agar pasukan kami dapat pulang dan mempelajari banyak perkara apabila memandu di sana.

23. Dalam tempoh lebih tiga tahun, ahli pasukan kami telah memandu di pelbagai jenis jalan yang merupakan sebahagian daripada projek ini dan saya juga mahu terus bekerja dengan mereka dalam komitmen Toyota bagi membina kereta yang lebih baik.

Akio Toyoda, Presiden, Toyota Motor Corporation.

Ucapan ini dibuat pada 23 Ogos sewaktu mengumumkan Projek Pemanduan Lima Benua ke Eropah.

Tags
Google ads
Back to top button