Buletin

TUSHEK TS 900 H APEX, KERETA HIPER 1,400 NM DARI SLOVENIA

Salon Privé adalah acara himpunan kereta eksotik dunia yang diadakan di Istana Blenheim, Oxfordshire, England. Tahun ini adalah edisi ke-14 penganjuran dan bakal menampilkan satu jenama baharu daripada negara tengah dan tenggara Eropah, Slovenia.

Tushek yang menggunakan nama pengasasnya Aljosa Tushek akan mempertontonkan model berprestasi tinggi TS 900 H APEX. Kereta ini digerakkan oleh dua motor elektrik pada kedua-dua roda depan dan enjin 4.2 liter V8 yang dipasang pada bahagian belakang.

Tidak cukup dengan dua motor elektrik, enjin kereta ini mempunyai tambahan kompresor dan hasilnya luar biasa iaitu 950 hp dan tork 1,400 Nm!

Angka tersebut belum meletakkan TS 900 H APEX sebagai kereta hiper paling berkuasa namun ianya adalah paling ringan hasil penggunaan spaceframe daripada kromoli dan badan gentian karbon pre-preg.

950 hp, 1,400 Nm dan berat tanpa muatan 1,410 kg menjadikan kereta ini benar-benar hebat!

Pecutan dari 0 hingga 97 km/j hanya mengambil masa 2.5 saat dan kelajuan maksimum ialah 380 km/j.

Dengan prestasi sebegini hebat sokongan komponen seperti tayar dan brek sangat kritikal. TS 900 H APEX menggunakan tayar Pirelli Trofeo Series R dengan dimensi 235/35 pada bahagian depan dan 305/30 pada bahagian belakang. Tuga membrek ditanggung oleh angkup Brembo.

Sama seperti kereta hiper lain, TS 900 H APEX menggunakan pintu bukaan ke atas (scissor door) dan untuk lebih sensasi, bumbung boleh dibuka sambil menghayati tiupan angin dan deruman ekzos dan enjin V8.

TS 900 H APEX adalah hasil penyelidikan dan ujian pelbagai teknologi dan dinamika pemanduan selama empat tahun bagi menghasilkan sebuah kereta yang dapat ‘berhubung’ dengan pemandunya melalui pelbagai sistem inovasi di dalam kabin.

Tidak banyak maklumat lanjut yang diberikan mengenai perkara teknikal kecuali ia dibangunkan berdasarkan pengalaman pengasasnya yang juga seorang pelumba berasal dari Slovenia dan pengetahuan beliau di dalam membina kereta lumba.

Harga, jumlah yang bakal ditawarkan dan pelbagai lagi maklumat masih tidak didedahkan secara rasmi.

Apa yang pasti ialah semakin banyak syarikat bebas atau pengeluar ternama mampu membangunkan kereta hiper yang begitu tinggi kuasa dan nampaknya permainan ini tidak akan habis!

Tags
Google ads
Back to top button