Buletin

CANGGIH! HYUNDAI INI GUNA BUMBUNG SOLAR, BEKAL KUASA TAMBAHAN

Teknologi solar sebenarnya sudah lama digunakan dalam kehidupan seharian terutama sekali di bangunan komersil dan kediaman. Ia merupakan kaedah praktikal bagi menjana kuasa elektrik.

Seiring dengan perubahan teknologi, teknologi solar sudah mula digunakan pada kereta mesra alam seperti Toyota Prius. Kuasa yang diperolehi digunakan sebagai tambahan kepada nadi kuasa motor dan bateri.

Kini giliran Hyundai Motor pula memperkenalkan bumbung dengan sistem pengecasan solar. Selain daripada membekalkan tambahan kuasa elektrikal, sistem ini dapat meningkatkan kecekapan bahan api dan jarak pemanduan.

Teknologi tersebut adalah yang pertama buat Hyundai dan digunakan pada Sonata Hybrid baharu. Sistem solar berfungsi sebagai sokongan kepada sumber tenaga elektrik dengan kelebihan seperti memperbaiki tahap kecekapan bahan api dan mengurangkan kadar emisi CO2.

Sistem tersebut terdiri daripada struktur solar panel silikon yang dipasangkan di atas bumbung Sonata Hybrid. Sistem tersebut mampu mengecas di antara 30 hingga 60 peratus kapasiti bateri dengan enam jam pemanduan harian.

Dari segi jarak, sistem tersebut berupaya meningkatkan jarak pemanduan sebanyak 1,300 kilometer setahun.

Berikut ialah bagaimana sistem solar Hyundai Sonata Hybrid berfungsi:

  • Elektrik dihasilkan apabila tenaga solar mengaktifkan permukaan panel yang menukarkan tenaga menggunakan foton (unit radiasi elektromagnet) cahaya dari matahari.
  • Proses tersebut menghasilkan lubang elektron berpasangan di dalam sel silikon yang kemudian menghasilkan tenaga solar elektrik.
  • Elektrik yang terhasil ditukarkan kepada voltan standard oleh pengawal dan kemudian disimpan di dalam bateri.
  • Dalam menghasilkan sistem pengecasan solar, Hyundai Motor turut mengambil kira aspek reka bentuk selain daripada faktor kecekapan.

Setakat ini memang diakui sistem bumbung solar hanya berfungsi sebagai sokongan kepada kenderaan mesra alam namun ianya ibarat gerbang kepada teknologi masa depan yang tidak lagi memerlukan bahan api fosil untuk bergerak.

Pada masa akan datang, Hyundai akan turut menggunakan teknologi solar pada model-model lain.

Hyundai Sonata Hybrid turut dilengkapi teknologi Active Shift Control (ASC) yang pertama seumpamanya di dunia dan dikuasakan enjin Smartstream G2.0 GDi HEV dan transmisi enam kelajuan hibrid.

Model ini telah pun di jual di Korea dan bakal ditawarkan di Amerika Utara dalam masa terdekat. Hyundai walaubagaimanapun buat masa sekarang tidak merancang untuk menawarkannya ke pasaran Eropah.

Tags
Google ads
Back to top button