Buletin

LOTUS EVIJA, KERETA HIPER EV BERHARGA RM8.7 JUTA!

Selepas dimiliki oleh Zhejiang Geely Holding dan Etika Automotive daripada DRB-Hicom, dunia automotif memerhatikan langkah Lotus Cars seterusnya.

Apakah perancangan dan ke mana hendak dibawa syarikat yang berusia lebih 70 tahun ini? Adakah ia akan mengikut jejak langkah sama seperti McLaren atau Ferrari dan Lamborghini?

Pertanyaan itu dijawab apabila Lotus Cars memulakan langkah pertama ke dalam liga kereta hiper elektrik dengan memperkenalkan Evija pada 16 Julai 2019 yang juga kereta elektrik hiper British pertama.

Kereta hiper ini mempunyai sasaran tinggi, kuasa yang mahu dicapai ialah 2,000 PS yang merupakan standard baharu dalam kejuruteraan canggih EV.

Dengan angka tersebut, Evija layak dinobatkan sebagai kereta produksi jalanan yang paling berkuasa pernah dibina.

Meneruskan tradisi nama dengan huruf E seperti seperti Elite, Elan, Europa, Elise, Exige dan Evora, model terbaru dengan sebutan E-vi-ya bermaksud pertama wujud atau sesuatu yang hidup.

Sebelum dinamakan sebagai Evija, kod kereta projek ini dikenali sebagai Type 130 yang merupakan identiti penomboran kereta produksi dan perlumbaan Lotus. Sebagai rujukan, kod Lotus Elise ialah Type 116.

Apa yang hebat tentang model pertama di bawah teraju kumpulan automotif Geely ini?

Banyak sebenarnya seperti nadi kuasa elektrik canggih dibangunkan dengan rakan teknikal Williams Advanced Engineering yang mempunyai pengalaman luas di dalam sukan Formula Satu dan penglibatan dalam menguasakan empat musim pertama Formula E.

Pek bateri Evija dipasangkan pada bahagian tengah dan terletak di belakang dua kerusi dan membekalkan tenaga secara terus kepada empat motor-e.

Sudah namanya Lotus, berat kereta adalah DNA jenama ini dan Evija disasarkan mempunyai berat sekitar 1,680 kg yang menjadikannya sebagai sebuah kereta hiper elektrik produksi paling ringan di pasaran.

Evija mempunyai lima mod pemanduan iaitu Range, City, Tour, Sport dan Track.

Dari segi prestasi kereta hiper ini boleh memecut daripada 0 hingga 100 km/j di bawah tiga saat dengan kelajuan maksimum 320 km/j.

Satu lagi ciri yang membuatkan Evija luar biasa ialah sasaran kuasa 2,000 PS dan daya kilas 1,700 Nm yang turut menjadikannya kereta produksi jalanan paling berkuasa di dunia.

Kuasa luar biasa tersebut bersumberkan bateri 2,000 kW lithium-ion yang dibekalkan bersama sistem pengurusan oleh  Williams Advanced Engineering (WAE).

Kuasa besar turut memerlukan tenaga besar dan Evija juga mempunyai bateri dengan pengecasan terpantas di dunia. Bateri tersebut mampu menerima pengecasan setinggi 800 kW yang sebenarnya belum boleh didapati secara komersil.

Apabila fasiliti pengecasan tersebut dipasarkan nanti bateri Evija boleh dicas dalam masa sembilan minit sahaja.

Sementara fasiliti tersebut menjadi realiti pengecasan menggunakan unit 350 kW (paling berkuasa di pasaran sekarang) hanya memakan masa sebanyak 12 minit untuk ke tahap 80 peratus dan 18 minit untuk pengecasan penuh.

Jarak perjalanan dengan tenaga penuh ialah sejauh 400 km (gabungan perjalanan WLTP) atau 434 km (gabungan perjalanan NEDC). Lotus sekarang ini sedang berkerjasama dengan pembekal luar untuk menyediakan solusi pengecasan buat pemilik Evija.

Sebelum ini terdapat cakap-cakap pengeluaran kenderaan Lotus akan dibuat di China dan syarikat telah mengesahkan Evija akan kekal produk Britain apabila dikilangkan di Hethel pada tahun depan.

Evija akan menjadi sebuah model eksklusif apabila ia dihadkan kepada 130 unit sahaja, selari dengan siri Type 130 dan mereka yang berminat boleh menyerahkan deposit sebanyak £250,000 (RM1,279,590).

Harga penuh Lotus Evija di United Kingdom termasuk cukai bermula dari £1,700,000 (RM8,701,212).

Ada yang berani tempah dan adakah Lotus Evija ini akan dimiliki rakyat Malaysia? Menarik untuk dinanti!

*£1.00 = RM5.12

Google ads
Back to top button