Buletin

UMW MAHU KUASAI SAHAM DALAM PERODUA – LIBATKAN PEMBELIAN BERNILAI RM1 BILION

UMW Holdings Bhd dilapor mahu meningkatkan pegangan sahamnya di dalam Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).

Setakat ini, UMW Holdings memiliki sebanyak 38 peratus kepentingan dalam Perodua. Jika cadangan itu berjaya dimeterai, ia bakal menguasai 70.6 peratus saham syarikat kereta nasional kedua itu.

Dalam satu permohonannya kepada Bursa Malaysia baru-baru ini, UMW telah membuat tawaran untuk membeli 50.07 peratus saham MBM Resources Bhd (MBMR) daripada Med-Bumikar Mara Sdn Bhd dan unitnya, Central Shore Sdn Bhd pada harga RM501 juta.

MBMR kini menguasai 22.58 peratus kepentingan dalam Perodua. Tawaran ini menilai kepentingan ekuiti MBM Resources dalam Perodua pada harga RM1 bilion.

Sekiranya MBMR menerima tawaran tersebut yang terbuka sehingga 28 Mac dan tertakluk kepada penyempurnaan cadangan penguasaan MBMR, pegangan saham UMW di dalam MBMR akan meningkat daripada 0 kepada 50.07 peratus.

Ini sekali gus mencetuskan tawaran mandatori kepada baki saham di dalam MBMR. “UMW Holdings tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian MBM Resources di Bursa Malaysia,” katanya.

UMW juga membuat satu tawaran bersyarat kepada PNB Equity Resource Corporation Sdn Bhd (PERC) untuk menguasai 10 peratus kepentingan ekuiti di dalam Perodua pada harga RM417.5 juta secara tunai dan terbitan saham baharu.

Saham-saham MBM Resources terlibat dalam pengedaran dan penjualan jenama-jenama antarabangsa dan tempatan utama di Malaysia. Antaranya ialah Perodua, Daihatsu, Mitsubishi, Volkswagen dan Volvo, selain mengeluarkan alat ganti automotif.

Cadangan pengambilalihan ini konsisten dengan strategi UMW untuk meningkatkan perniagaan teras dalam bidang automatif, peralatan, pengeluaran serta kejuruteraan.

Maybank Investment Bhd. dilantik sebagai penasihat UMW Holdings dalam urusniaga ini.

Google ads
Back to top button