
VOLKSWAGEN POLO GTI 2021. 204HP, ADA PILIHAN CHASIS PRESTASI
Volkswagen baru-baru ini memperkenalkan Polo GTI yang telah ditambah baik, dua bulan selepas pengeluar kereta Jerman itu melancarkan Polo facelift ke pasaran.
Polo GTI hadir dengan teknologi dan gayaan yang jelas dipengaruhi oleh model Golf generasi kelapan. Pada masa sama, ia mengekalkan enjin 2.0 liter TSI turbo berkuasa 204hp dan tork 230Nm.
Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar DSG tujuh kelajuan. Rangkaian kuasa itu membolehkan Polo GTI memecut dari 0-100km/j dalam masa 6.5 saat.
Pemandu boleh memilih daripada tiga mode pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport. Setakat ini tiada perkembangan sama ada versi dengan transmisi manual akan ditawarkan atau sebaliknya.

Polo GTI juga hadir dengan talaan chasis yang berorientasikan prestasi. Chasis itu akan merendahkan badan kereta sebanyak 15mm berbanding Polo standard, bar penstabil lebih besar pada gandar hadapan dan cagak gandar belakang lebih keras.
Dari segi penampilan, Polo GTI menerima logo baharu Volkswagen dan lampu utama LED Matrix IQ Light sebagai ciri standard bersama sepasang bar lampu di bahagian hadapan.
Volkswagen menyatakan bar lampu tersebut menawarkan gayaan seperti model elektrik ID, serta model-model popular lain termasuklah Golf, Arteon dan Tiguan.
Bahagian belakang pula disegarkan dengan rekaan bampar baharu. Polo GTI juga menerima rim aloi bersaiz 17 inci dan lampu isyarat membelok dinamik buat pertama kalinya.

Menjengah ke ruang kabin, jentera itu didatangkan dengan skrin infohibur bersaiz 8.0 inci bersama ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Ia juga menerima kemasan berwarna merah pada papan pemuka, konsol tengah dan perumah hendal pintu.
Polo GTI dipasang dengan ‘kokpit digital’ seperti yang ada pada Golf dan ID. Sistem Discover Pro dan Discover Media pula ditawarkan secara berasingan. Ciri-ciri lain yang boleh ditambah oleh pelanggan termasuklah bumbung suria panoramik, sistem arahan suara, pengecas tanpa wayar, sistem bunyi Beats dan rim aloi 18 inci.
Buat julung-julung kalinya, Polo GTI mendapat sistem Travel Assist yang merangkumi kawalan jelajah adaptif, lane assist, side assist dan amaran trafik belakang.
Turut hadir sebagai ciri stancard ialah brek kecemasan automatik (AEB), sistem amaran pemandu dan brek pasca pelanggaran automatik.
Volkswagen masih belum mendedahkan harga Polo GTI. Tetapi, ia dijangka mula berada di pasaran dalam tempoh beberapa bulan lagi.
- BACA: #IKILAPILIHAN: SAGA BLM GAYA VW POLO. CUMA RM9.9K! CANTIK & BERBALOI!
- BACA: VOLKSWAGEN SEDANG UJI PROTOTAIP POLO R 300BHP – SUPERMINI BARU?
- BACA: VW POLO GTI 2018 – DARI 1.4 KE 1.8 KINI DENGAN 2.0 TSI!
- BACA: VOLKSWAGEN RAIKAN 40 TAHUN POLO
GALERI