Buletin

VOLKSWAGEN SEDANG UJI PROTOTAIP POLO R 300BHP – SUPERMINI BARU?

Benarkah berita ini? Jika benar maklumat yang dilaporkan bermakna Polo R akan menjadi supermini yang bakal mengambil tempat Golf GTI sebagai model VW paling popular.

Volkswagen dikatakan sedang membangunkan beberapa model R keluaran mereka. Dan jika Polo R dikeluarkan ia akan menjadi model paling hangat dan sensasi. Malah laporan dari sumber dalaman Autocar menyatakan beberapa prototaip Polo R telah dihasilkan untuk penilaian.

Prototaip ini dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat selinder turbo  yang sama seperti Golf R dan mampu menghasilkan 300hp kuasa. Disebabkan Polo banyak berkongsi komponen dengan Golf yang lebih besar, ia juga mungkin mempunyai ruang yang mencukupi untuk sistem pacuan-semua-roda untuk cengkaman dan kestabilan.

Malah modifikasi seperti ini juga agak mudah dijalankan kerana enjin Polo GTO 2.0 juga sama seperti yang digunakan pada VW Golf.

“Terdapat ruang yang cukup untuk sistem penyejuk tambahan pada Polo tentunya,” kata Ralf Kolling, pengarah bahagian kereta kecil Volkswagen.

BACA: VW POLO GTI 2018 – DARI 1.4 KE 1.8 KINI DENGAN 2.0 TSI!

Tapi pembangunan Polo R dengan spesifikasi sehebat ini mungkin ada keburukannya. Ia mungkin akan menjadi model yang lebih laju daripada Golf GTI malah mungkin juga Golf R. Harganya juga mungkin akan melambung dan menyebabkan pembeli memilih Golf GTI yang berkemungkinan lebih murah.

Kebaikannya pula ialah kemungkinan ia dikembangkan kepada syarikat jenama saudara rapat VW iaitu Seat dan Skoda. Mana tau dapat beli model yang seakan sama tetapi dengan harga yang lebih murah kan?

VW sebelum ini pernah mengeluarkan model Polo R WRC edisi terhad sekitar 2500 unit dan mampu menghasilkan 217bhp kuasa. Polo R baru jika dikeluarkan kemungkinan mempunyai ciri-ciri yang sama tetapi dengan enjin yang lebih berkuasa.

GALERI:

Google ads
Back to top button