Buletin

VPCM LANCAR TIGUAN SERBA BAHARU – BERMULA RM148,990

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) sebentar tadi telah melancarkan SUV yang penuh gaya, Tiguan serba baharu secara rasmi.

“Apabila Tiguan generasi pertama diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2008, ia mencatat kejayaan besar buat kami. Tiguan serba baharu nyata seimbang dari segi gaya dan adventur – ia hadir dalam pakej yang lengkap.

“Dengan harga yang kompetitif, kami yakin Tiguan akan diterima baik oleh pasaran Malaysia,” kata Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia, Erik Winter.

Dipasang tempatan di Pekan, Pahang Tiguan didatangkan dalam dua varian Comfortline dan Highline. Bagi menarik minat pelanggan, harga Comfortline ialah RM148,990 dan RM168,990 bagi model Highline.

Bukan itu sahaja, bagi pembeli terawal untuk tempoh terhad, mereka akan menerima diskaun sebanyak RM7,000. Di samping naik taraf sistem App Connect pada harga cuma RM699. Harga asalnya ialah RM1,099.

App Connect terdiri daripada tiga teknologi yang membolehkan anda menggunakan aplikasi di dalam telefon bimbit pada sistem infotainmen. Ia disokong oleh Android Auto, Apple Carplay dan Mirrorlink.

Enjin dan Prestasi

Tiguan menggabungkan enjin pancitan terus 1.4L turbocharged TSI dengan kotak gear jenis basah direct shift (DSG) 6-kelajuan untuk memberikan kuasa impresif iaitu 150PS dan tork 250Nm di antara 1,500 hingga 3,500rpm.

Ia menawarkan pecutan mengagumkan, dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 8.9 saat dengan catatan penggunaan bahan api sekitar 6.7l/100 km. Tahap penggunaan bahan api yang luar biasa ini membolehkan Tiguan menerima persijilan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Ciri hiburan yang telah dipertingkatkan

Sistem infotainmen pada Tiguan serba baharu memberikan pilihan ketersambungan yang luas dan navigasi mudah kepada pemandu. Sistem Active Info Display interaktif dan boleh diubah itu hadir bersama thin-film transistor (TFT) berwarna beresolusi tinggi bersaiz 12.3 inci bagi  menggantikan panel instrumen tradisional.

Terdapat enam tema dan mode berbeza yang telah ditetapkan untuk memenuhi keperluan pemandu – Classic, Mode Eco, Driving Assistance Mode, Mode Penggunaan Bahan Api (Fuel Consumption Mode) dan Mode Navigasi.

Ciri-ciri lain yang ditawarkan termasuklah rangkaian pilihan ketersambungan menerusi satu paparan skrin sentuh berwarna bersaiz 6.5 ici. Unit utamanya turut menyokong kamera undur, menu kenderaan yang lengkap dan sistem infotainmen.

Ciri-ciri keselamatan

Tiguan dilengkapi pelbagai ciri keselamatan seperti enam beg udara, Electronic Stability Control (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Brake Assist (BA), Multi-collision Brake, Intelligent Crash Response System (ICRS),, Electronic Parking Brake (EPB) serta hill-hold control.

Memahami pentingnya keselamatan buat si kecil, Tiguan hadir bersama ciri anti-pinch pada tingkap kuasa serta cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak.

Ruang dalaman

Pelbagai ciri estetik dan fungsi diketengahkan ke dalam Tigua. Misalnya kemasukan tanpa kunci KESSY, stereng multi fungsi dibalut kulit, paddle shifter untuk penukaran arah yang lebih mudah, cermin pandang belakang anti-silau, kawalan jelajah dan Park Assist.

Jentera itu hadir bersama tempat duduk upholsteri kulit ‘Vienna’, perehat tangan yang boleh dilaras ketinggiannya dan  corong pendingin hawa untuk penumpang belakang. Tidak ketinggalan, tempat duduk kulit 12 talaan untuk pemandu serta sistem pendingin hawa “Climatronic”  dengan kawalan suhu tiga zon untuk keselesaan semua penumpang. Penumpang belakang juga boleh menggunakan meja boleh lipat yang mampu diposisikan pada empat sudut berbeza.   

Tiguan juga dilengkapi lampu ambien yang menyala pada garis pintu dan kemasan sisi untuk ruang kabin yang lebih cerah.

 

Luaran  

Dengan dimensi yang lebih panjang, lebar dan rendah berbanding model terdahulu, Tiguan jelas mempunyai reka bentuk yang dinamik serta perkadaran tersendiri.

Selaku finalis anugerah World Car of the Year, Tiguan serba baharu sudah menerima banyak anugerah. Sejak diperkenalkan di peringkat global, ia telah menerima banyak pengiktirafan. Ini termasuklah memenangi Anugerah Reka Bentuk Jerman 2017 dan Anugerah Inovasi di bawah Anugerah Plus X yang cukup berprestij.

Tiguan dipasang dengan rim aloi Kingston bersaiz 18 inci, lampu utama LED adaptif dan lampu belakang LED. Ciri ini mampu meningkatkan lagi tahap pandangan pemandu dalam apa jua kondisi cuaca. Bagi memberi lebih kemudahan, Tiguan juga didatangkan dengan pintu belakang elektrik.

Tiguan merupakan SUV Volkswagen yang paling berjaya dengan lebih 2.8 juta unit Tiguan telah dijual sehingga kini di seluruh dunia. Berdasarkan kepada kejayaan ini, Tiguan dilihat telah mendefinisikan semula standard baru dari segi reka bentuk, keselesaan dan fungsi.

Tiguan didatangkan bersama jaminan pengilang dan bantuan di tepi jalan selama 5 tahun. Lima warna ditawarkan iaitu putih, hitam, biru, perak dan kelabu.

Tempahan dan sesi pandu uji boleh dibuat di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara. Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.volkswagen.com.my

BACA: KONVOI 27,000km DARI MALAYSIA KE JERMAN UNTUK PERHIMPUNAN VOLKSWAGEN!

BACA: PROJEK POLO P VOLKSWAGEN 

Google ads
Back to top button