
VW POLO TERIMA ENJIN BAHARU
Model kompak popular keluaran Volkswagen, Polo telah diberi penambahbaikan dari segi teknologi, kecekapan enjin serta penampilan dalam dan luarannya.
Dijangka dipasarkan pada musim panas tahun ini di pasaran Eropah, Polo dilengkapi Sistem Brek Pasca Pelanggaran Automatik sebagai salah satu ciri standard. Sementara ciri Driver Alert System, Front Assist with City Emergency Braking dan Automatic Cruise Control pula ditawarkan sebagai pilihan.
Bukan itu sahaja, sistem suspensi Sport Select juga ditawarkan. Manakala sistem stereng elektro-mekanikal didakwa mampu meningkatkan kecekapan dan menawarkan kawalan lebih tepat.
Polo akan dibekalkan dengan rangkaian enjin yang menepati piawaian Euro 6 dan menawarkan penjimatan bahan api sehingga 21 peratus berbanding model terdahulu.
Enjin petrol tiga dan empat silinder terlibat dalam penambahbaikan tersebut. Dua buah enjin MPI bersesaran 1.0 liter berkuasa 60PS atau 70PS dan dua enjin 1.2 liter TSI berkuasa 90PS atau 110PS akan digunakan. Enjin diesel pula diwakili oleh dua unit enjin tiga silinder iaitu 1.4 liter TDI yang berupaya menjana kuasa sehingga 75PS dan 90PS.
Perubahan luaran dapat dilihat menerusi garis lebih kemas pada bampar hadapan dan gril. Pilihan lampu utaam LED akan ditawarkan buat pertama kalinya. Bahagian belakang pula menerima lampu dan bampar baharu. Manakala rim aloi dengan rekaan baharu melengkapkan lagi penampilannya.
Sistem infotainmen modular Volkwagen yang ada pada model Golf akan diperkenalkan ke ruang kabin Polo. Panel instrumen telah direka semula dan ia dipasang dengan stereng baharu.
Untuk pasaran United Kingdom, Volkswagen akan mengambil tempahan Polo mulai April dan penghantaran pertama dilakukan pada Julai depan.