" "
Buletin

VOLKSWAGEN POLO 50 TAHUN, PERNAH MENJADI FENOMENA DI DALAM NEGARA!

Selain Beetle, Combi dan Golf, model kompak Polo turut berjasa kepada Volkswagen. Lebih sedekad lalu, Polo di antara model yang menjadi fenomena di pasaran tempatan.

Semasa dilancarkan pada 2010 VW menawarkan Polo dengan enjin 1.2 liter TSI turbo bersama kotak gear cekam berkembar DSG tujuh kelajuan. Dari sini boleh dilihat kenapa Polo menjadi fenomena.

Pada 2011 VW menyusul dengan Polo GTI yang dibekalkan enjin 1.4 liter TSI turbo. Tiga tahun kemudian, Polo dengan enjin 1.6 liter MPI dan kotak gear automatik enam kelajuan dilancarkan di pasaran tempatan.

Model pengganti iaitu Polo generasi keenam (Mk6) diperkenal pada 2017 namun VW mengambil keputusan untuk tidak membawanya ke Pekan, Pahang untuk dipasang.

Menjejaki sejarah, Polo kini menghampiri usia jubli emas dan lebih 20 juta unit terjual merentasi enam generasi yang meletakkannya sebagai satu daripada model paling berjaya di dalam segmen.

Usia jubli emas juga bermakna VW meraikannya pada 2025.

Semasa VW menggantikan Beetle pada tahun 70-an, syarikat mempunyai beberapa model yang disusun seperti Passat pada 1973, Golf setahun kemudian dan Polo pada 1975.

Berada di bawah Golf, Polo menyempurnakan siri keluarga baharu dengan enjin pacuan depan.

Kelahiran Polo bermakna pengangkutan mampu milik untuk semua orang dan menabur bakti sama ada sebagai kereta untuk belajar memandu atau kegunaan keluarga.

Polo yang diperkenal pada Mac 1975 diasaskan daripada Audi 50. Beberapa ubah suai kecil dilakukan dan dikeluarkan dari kilang Wolfsburg dan menawarkan sesuatu yang segar dalam segmen kereta kecil.

Polo terhasil sebagai kereta dengan reka bentuk kemas, praktikal, mampu milik, ekonomikal, lincah dan pengendalian yang bagus.

Polo Mk2 hadir pada 1981 dengan mengekalkan rekaan ringkas namun bertambah kepada model sedan dan coupé sepanjang penawarannya.

Pada 1987, VW memperkenalan edisi terhad Polo Coupé GT G40 dan buat pertama kali menggunakan pengecas lampau jenis skrol yang semestinya lebih berkuasa.

Polo Mk3 mengambil giliran pada 1994 dan turut ke depan dari segi teknologi. Polo di antara model terawal di dalam segmen yang dilengkapi ciri keselamatan inovatif seperti beg udara.

Pada 1998, Polo buat kali pertama ditawarkan dalam versi GTI meskipun mempunyai GT G40 sebelum itu.

Polo Mk4 diperkenal pada 2002 dengan saiz yang ketara lebih besar untuk keselesaan dan ciri-ciri keselamatan seperti beg udara depan dan sisi, stereng kuasa dan Sistem Brek Anti-Kunci sebagai ciri asas.

Polo Mk5 pada 2009 pula memperkenalkan sejumlah ciri-ciri inovasi digital seperti sistem maklumat hibur dan bantuan. 

Polo Mk5 turut beraksi cemerlang di dalam sukan permotoran dengan Polo R WRC membolot empat kejuaraan pemandu dan pengeluar Kejohanan Rali Dunia (WRC) sejak 2013.

Polo Mk6 menemui orang ramai pada 2017 dan dibangunkan daripada pelantar modular transverse matrix (MQB) dan dibekalkan teknologi terhubung, keselamatan dan dinamika pemanduan yang menetapkan piawaian baharu.

Ciri-ciri digital ditingkatkan pada 2021 dan dilengkapi sistem bantuan pemanduan dan keselesaan yang biasanya ditemui pada segmen lebih tinggi.

Sempena usia lima dekad, adakah VW bakal menghadiahkan sesuatu yang istimewa?

Buat pengguna tempatan, walaupun VW tidak menawarkannya, anda masih boleh memiliki Polo Mk6 dari pengimport bebas. Bukan setakat model biasa tetapi Polo GTI! 

Google ads
Back to top button