
11 UNIT POLO BLACK & WHITE EDISI KHAS HABIS DITEMPAH DALAM MASA 1 MINIT!
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini mengumumkan bahawa semua 11 unit Polo Black & White yang dilancarkan pada Khamis minggu lalu habis ditempah dalam masa satu minit sahaja.
Model tersebut dijual sempena festival membeli-belah 11.11 Lazada iaitu pada Sabtu minggu lalu. Menurut VPCM, semua tempahan berjaya dibuat pada jam 12:01 tengah malam 11 November 2018. Manakala transaksi pembelian disempurnakan sejam kemudian.
Maklum balas yang sangat pantas ini menjangkaui ekspektasi VPCM.
BACA: POLO BLACK & WHITE – EKSKLUSIF DI LAZADA, 11 UNIT, RM68,488 SAHAJA
Dijual secara eksklusif di platform dalam talian Lazada, pelanggan hanya perlu membayar harga runcit iaitu RM68,488* untuk menerima aksesori tambahan bernilai RM7,500.
Polo dijana oleh enjin petrol 16 injap Multi Point Injection (MPI) 1.6l berkuasa 105PS yang dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan bersama Tiptronic dan mode sport.
Hanya didatangkan dalam warna putih (Candy White), Polo Black & White dilengkapi dengan spoiler belakang, kemasan sisi berwarna hitam, tempat duduk dibalut kulit, rim aloi bersaiz 15 inci, perumah cermin sisi berwarna hitam dan filem VW Tint.