Buletin

WRX SELEPAS INI AKAN KELIHATAN SEPERTI MODEL KONSEP VIZIV – KETUA PEREKA SUBARU

Selepas pesaing terdekat mereka menamatkan siri Lancer Evolution, Subaru masih lagi mengeluarkan model Subaru WRX tetapi meninggalkan terus nama Impreza. Ia cuma dikenali dengan nama Subaru WRX. Bukannya sesuatu yang pelik kerana Nissan juga menamakan GTR dengan nama Nissan GTR dan meninggalkan nama Skyline.

Bagaimanakah dengan hala tuju Subaru selepas ini? Ketua pereka Subaru, Mamoru Ishii sewaktu ditemubual oleh Autocar memberitahu yang berdasarkan sambutan yang menggalakkan terhadap model konsep Viziv yang diperkenalkan beberapa bulan lepas, pihak Subaru merancang untuk menghasilkan model WRX terbaru berdasarkan konsep tersebut.

Model konsep Viziv membawa harapan peminat dan juga syarikat dan berdasarkan trend terkini, ia merupakan rekaan yang mendapat tempat di hati peminat. Cuma buat masa ini mereka belum pasti bagaimana caranya untuk menambah baik model konsep itu agar sesuai dengan kehendak pasaran bila ia dihasilkan.

Mengambil contoh trend terkini pemanduan autonomi dan teknologi yang membolehkan anda berhubung dengan kereta anda, ramai pelanggan yang menyukainya tetapi ada yang tidak menyukainya termasuklah Abang Japar. Bagi mereka, keseronokkan pemanduan adalah lebih penting (tambahan pula ini adalah sebuah WRX) dan itulah yang sedang diterokai oleh Subaru.

Menurut Ishii lagi, pelanggan akan menyaksikan WRX selepas ini menggunakan bentuk badan, arca roda dan skup bonet yang menyerupai model konsep itu. Bahagian lain akan diputuskan di kemudian hari.

BACA: PERMINTAAN MENGGILA, PENGEDAR NAIKKAN HARGA CIVIC TYPE R HAMPIR SEKALI GANDA!

Subaru merancang untuk melancarkan WRX generasi terbaru menjelang 2020 dan sedan itu akan menggunapakai platform global Subaru. Malah Ishii turut menyatakan yang Subaru akan memberikan fleksibiliti kepada WRX baru ini khususnya dari sudut pilihan enjin. Dengan kata lain ia mungkin akan ditawarkan dengan enjin selain dari enjin boxer.

Bila kami tengok pada model konsep ini ia seakan-akan mempunyai tema yang sama dengan Honda Civic Type R baru. Khususnya pada garisan-garisan badan yang tajam dan menonjol. Agaknya ini memang ciri-ciri kereta sport generasi baru. Bagamana dengan pandangan anda?

Google ads
Back to top button