BuletinMotosikal

YUZY: SASI GANTI AZROY DI ARRC SUZUKA, JEPUN

Pengurus pasukan Yuzy Honda Vietnam Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini akan menggantikan Azroy Hakeem Anuar dengan pelumba berpengalaman, Sasitharen Sukumaran di dalam saingan Underbone 150cc pada Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Suzuka, Jepun pada 2 hingga 4 Jun ini.

Azroy yang juga juara Perlumbaan 1 pada pusingan kedua Underbone 150cc ARRC di Thailand, April lepas tidak dapat beraksi kerana bersaing di dalam saingan Asia Talent Cup yang turut dijalankan bersama perlumbaan ARRC di Litar Suzuka, minggu ini.

“Kami tidak mempunyai masalah dengan ketiadaan Azroy kerana selain Sasi, kami mempunyai seorang lagi pelumba dari Malaysia, iaitu Mohd Amirul Ariff Musa dan pelumba Vietnam, Chao Viet Nam,” jelas Yuzy.

BACA: ARRC THAI, AZLAN MENANG BEGANDA

Tambahnya, “Amirul mempunyai rekod baik di dalam saingan ARRC dan merupakan naib juara keseluruhan pada tahun 2016, jadi kami masih boleh meletakkan harapan kepada Amirul untuk mengejar podium. Sementara itu Sasi juga mempamerkan aksi yang baik sewaktu beraksi dalam kelas Underbone 130cc sepanjang beberapa tahun lepas. Ketiadaan Azroy pada perlumbaan minggu ini tidak menjejaskan strategi pasukan.”

“Apa yang penting adalah tugas jurutera pasukan untuk mendapatkan jentera terbaik memandangkan dari segi peumba, kebolehan mereka tidak mempunyai banyak perbezaan,” jelas Yuzy.

 

Google ads
Back to top button