Motosikal

MICHELIN SEDIAKAN TAYAR “BUATAN KHAS” UNTUK MOTOGP THAILAND

Michelin dikatakan akan menyediakan tayar buatan istimewa untuk MotoGP Thailand hujung minggu ini. Tayar yang sama pernah digunakan di GP Austria sebelum ini dan sekali lagi akan digunakan berikutan permukaan litar Chang International yang dikatakan mempunyai kriteria unik.

Pengeluar dari Perancis itu juga telah memilih tayar yang sama untuk digunakan pada bahagian belakang sewaktu di Red Bull Ring dengan pelumba diberi pilihan sama ada ingin menggunakan tayar kompaun lembut, sederhana ataupun dengan corak asimetrikal berikutan rekaan bahagian luar yang lebih keras di bahagian kanan tayar.

Disebabkan kebanyakan selekoh berkelajuan tinggi litar Buriram berada di sebelah kanan, Pengurus Michelin Motorsport Two-Wheel, Piero Taramasso berkata mereka memilih untuk menggunakan tayar buatan istimewa ini berdasarkan data-data yang dikumpulkan pada tahun sebelumnya. Ini merupakan kali ketiga mereka menguji tayar dan berdasarkan perlumbaan pada tahun lepas, mereka boleh menilai keadaan tayar dan membuat perubahan untuk perlumbaan tahun-tahun akan datang.

Berdasarkan ujian yang diadakan litar ini menghasilkan haba yang lebih pada tayar jadi mereka menyediakan tayar istimewa ini yang sebelum ini juga telah digunakan di Austria untuk mengatasi masalah tersebut.

Tahun lepas Michelin diberitahu yang cuaca adalah lebih sejuk dan kadang kala hujan pada bulan Oktober di Thailand tetapi keadaan cuaca nampaknya panas dan kering sewaktu perlumbaan. Jadi kali ini mereka menyediakan lebih banyak tayar untuk disesuaikan dengan semua keadaan cuaca.

Mereka turut menyediakan tayar hadapan jenis simetrikal lembut, sederhana dan keras berdasarkan data yang direkodkan pada perlumbaan tahun lepas di litar Thai itu.

Tapi dengan ramalan hujan yang mungkin turun di Buriram sekitar Ogos sehingga pertengahan Oktober, Michelin juga turut menyediakan pilihan tayar yang sesuai untuk litar basah dengan rekaan tepi yang lebih kuat pada bahagian kanan tayar.

Sambutan penonton di litar Buriram boleh dikatakan hangat pada tahun sebelum ini dan Michelin juga turut mahu memainkan peranan bagi memastikan perlumbaan tahun ini adalah lebih menarik.

Marc Marquez merupakan pemenang pertama GP Thailand selepas bertarung hebat dengan Andrea Dovizioso dan Maverick Vinales pada pusingan akhir musim lepas. Kali ini mempunyai peluang untuk mengesahkan kejuaraan beliau sebagai juara MotoGP sekali lagi jika berjaya mengalahkan Dovizioso dengan 2 mata di Buriram.   

Tags
Google ads
Back to top button